Negeri Sembilan belum rancang buka kilang proses NR-REE - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan belum rancang buka kilang proses NR-REE

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan masih belum mempunyai perancangan khusus untuk membuka kilang bagi memproses sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di negeri ini.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya terdapat syarikat atau pelabur luar negara yang berminat untuk membina kilang pemprosesan itu yang secara tidak langsung membantu membangunkan industri NR-REE di peringkat pertengahan.

“Pengeluaran NR-REE di Malaysia pada ketika ini bertumpu di peringkat huluan dan NR-REE ini dieksport ke negara China secara mentah (RE Carbonate) dan di sana nanti proses pengasingan bagi setiap logam yang terkandung dalamnya dibuat bagi menghasilkan produk hiliran seperti magnet logam.

“Pada masa ini juga, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah memutuskan pelaksanaan moratorium bagi aktiviti pengeksportan bahan mentah NR-REE sebagai inisiatif untuk membangunkan industri NR-REE di peringkat pertengahan. 

“Pelaksanaan moratorium pengeksportan ini adalah berkuatkuasa mulai 1 Januari 2024 dan akan dinilai setiap enam bulan,” katanya menerusi jawapan bertulis pada sesi pertanyaan lisan (hari kedua), Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15 hari ini.

Ia bagi menjawab soalan bertulis diajukan Kamarol Ridzuan Mohd. Zain (PN-Paroi) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan negeri berhasrat membuka kilang memproses REE memandangkan Malaysia mempunyai pakar tempatan untuk memproses bahan mentah sumber itu.

Sebelum ini, Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kewangan, Tanah Dan Sumber Alam negeri, memaklumkan Negeri Sembilan dianggarkan mempunyai sumber NR-REE mencecah nilai RM30 bilion.

Sementara itu, Menteri Besar memberitahu, pihak Kementerian Kerja Raya telah meluluskan permohonan kerajaan negeri bagi projek pembinaan lebuh raya bertingkat dari Tol Senawang ke susur keluar Lebuhraya Kajang-Seremban berhampiran Taman Tasik Jaya di sini.

“Pihak Kementerian sedang dalam peringkat pertimbangan mengenai harga tawaran kos pelaksanaan projek tersebut,” katanya.

Sebelum itu, P. Gunasekaren (PH-Seremban Jaya) bertanyakan mengenai perkembangan terkini mengenai perbincangan pembinaan projek berkenaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN