Negeri Sembilan akan laksanakan caj konservasi taman eko rimba - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan akan laksanakan caj konservasi taman eko rimba

AMINUDDIN Harun ketika menjawab soalan pada sesi pertanyaan lisan hari ketiga Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mula mengenakan bayaran konservasi bagi beberapa taman eko rimba terpilih di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia sebahagian kajian semula bayaran perkhidmatan ekosistem bagi menampung kos penyelenggaraan kemudahan awam serta menambah baik program pemeliharaan dan pemuliharaan hutan dan biodiversiti di negeri ini.

Beliau berkata lagi, langkah berkenaan terkandung dalam pengenalan caj perkhidmatan yang menjurus ke arah kelestarian ekonomi sebagai bidang berpotensi meningkatkan kutipan hasil negeri itu sekali gis dilihat dapat mencapai matlamat pengurusan hutan dan biodiversiti secara mampan.

“Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan telah mengkaji semula Kaedah-Kaedah Hutan dan telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk mengenakan caj bayaran berkaitan ekopelancongan.

“Iaitu caj fi konservasi bagi taman eko rimba terpilih sebanyak RM3 untuk warganegara dan RM6 untuk bukan warganegara serta dikecualikan bayaran untuk kanak-kanak dan warga emas. Caj fi konservasi ini sedang dalam tindakan Pejabat Penasihat Undang-Undang untuk diwartakan sebelum ia dapat dilaksanakan kutipan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan lisan (hari ketiga), Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 hari ini.

Aminuddin menjawab soalan dikemukakan Mohamad Hasan (BN-Rantau) yang diajukan oleh Datuk Zaifulbahri Idris (BN-Chembong) yang ingin mengetahui langkah-langkah strategik dan bidang-bidang tumpuan kerajaan negeri dalam meningkatkan hasil dan sumber-sumber hasil baharu kerajaan negeri.

Sementara itu, Menteri Besar menjelaskan, berdasarkan analisis dan kedudukan semasa ekonomi negeri, transformasi komoditi air juga dilihat sebagai bidang berpotensi meningkatkan kutipan hasil negeri.

“Bagi meningkatkan hasil kerajaan negeri bagi tahun 2024, Badan Kawal Selia Air (BKsa) telah membuat semakan semula ke atas kadar caj air laut dan pihak berkuasa negeri telah meluluskan kenaikan caj air laut dari satu sen per meter padu kepada tiga sen per meter padu,” katanya.

Jelas beliau, melalui kenaikan caj baharu ini, BKSA dapat meningkatkan hasil sebanyak lebih RM46 juta setahun.

Selain itu, katanya, BKSA juga telah mengenakan caj yang baharu iaitu caj struktur atas badan perairan berkuatkuasa mulai 1 Januari lalu yang dapat meningkatkan hasil dengan anggaran sebanyak RM300,000.

Dalam pada itu, Aminuddin memberitahu, anggaran rizab sumber mineral di Negeri Sembilan adalah sebanyak 3,573.10 juta tan metrik dengan salah satu sumber mineral tersebut adalah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) iaitu sebanyak 200,000 tan metrik.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN