NACS langkah positif kawal, banteras semua aspek rasuah

NACS langkah positif kawal, banteras semua aspek rasuah

ANWAR Ibrahim ketika hadir majlis peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di sini, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) perlu disertai dengan menambah baik pemantauan dan kawalan dalam semua aspek yang mempunyai ruang untuk pelakuan rasuah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, menerusi pelan NACS, kerajaan perlu meningkatkan pemantauan yang berkesan bagi mengurangkan peluang untuk meminta dan menerima rasuah.

“Bagi memastikan kejadian sedemikian tidak berulang, kerajaan harus meningkatkan kawalan, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan dana awam.

“Ini boleh melibatkan penambahbaikan proses tender, penguatkuasaan undang-undang antirasuah dan pengenalan mekanisme pelaporan yang lebih berkesan bagi mengesan serta menangani kes penyelewengan dengan lebih cekap,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, akhbar melaporkan, Malaysia kehilangan RM227 billion akibat rasuah dalam tempoh lima tahun lalu.

Jumlah yang hilang itu sepatutnya boleh dimanfaat kepada rakyat.

Jais berkata, pendidikan masyarakat mengenai kesan negatif rasuah dan sikap integriti dalam pentadbiran awam penting bagi mencegah budaya rasuah.

Katanya, pelaksanaan NACP antara usaha penting untuk memerangi rasuah kerana menerusi pelan tersebut menggariskan matlamat, strategi dan langkah-langkah terbaik untuk mengurang dan mencegah rasuah dalam pelbagai sektor serta peringkat pentadbiran negara.

Mengulas mengenai lantikan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kes rasuah, beliau berkata, ia bergantung kepada keperluan setiap kes.

“Sekiranya terdapat kes-kes rasuah yang melibatkan isu-isu sensitif atau melibatkan individu yang berpengaruh, penubuhan jawatankuasa khas atau Suruhanjaya Diraja mungkin diperlukan untuk memastikan penyiasatan dilakukan secara bebas, telus, dan menyeluruh.

“Bagaimanapun, penting juga untuk memastikan bahawa mekanisme yang ada seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai keupayaan dan sumber yang mencukupi untuk menyiasat kes-kes rasuah dengan cekap,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN