Miskin bandar punca ramai ‘lari’ ke kampung

Miskin bandar punca ramai ‘lari’ ke kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kategori miskin bandar dengan pendapatan bulanan seisi keluarga kurang daripada RM4,000 antara punca utama ramai penghuni bandar memutuskan memulakan kehidupan di luar bandar khususnya mereka yang berusia 40 tahun ke atas.

Pendapatan bulanan tersebut masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata negara yang meningkat daripada RM4,609 pada 2019 kepada RM5,150 pada 2022 mengakibatkan golongan tersebut tertekan untuk meneruskan kelangsungan hidup di bandar raya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar kemiskinan di bandar meningkat daripada 3.9 peratus pada 2019 kepada 4.5 peratus pada 2022.

Sedangkan, katanya, kadar kemiskinan di luar bandar pula mencatatkan penurunan daripada 12.4 kepada 12 peratus dalam tempoh sama.

“Ini menyebabkan kebanyakan orang bandar yang mula menjengah usia 40-an dengan fizikal masih cergas memiliki pengalaman kerja dan ilmu perniagaan mengambil peluang disediakan kerajaan seperti geran dan inisiatif ditawarkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk memulakan kehidupan baharu di kampung.

“Kebanyakan mereka mula menceburi bidang perniagaan, pertanian dan sebagainya seperti membuka bendang, penternak ikan, menternak ayam, kambing dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Untuk rekod, peringkat negeri, perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata tertinggi direkodkan di Putrajaya iaitu RM8,897.

Sementara itu, lima lagi negeri turut mencatatkan perbelanjaan penggunaan isi rumah melebihi purata nasional RM5,150 iaitu Kuala Lumpur (RM7,823); Selangor (RM6,770); Melaka (RM5,707); Johor (RM5,342) dan Pulau Pinang (RM5,322).

Terdapat empat perbelanjaan utama menyumbang kepada perbelanjaan penggunaan isi rumah iaitu perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain membabitkan 23.2 peratus; makanan dan minuman (16.3 peratus); restoran dan hotel (16.1 peratus) dan pengangkutan (11.3 peratus).

Semalam akhbar ini melaporkan, trend migrasi dari bandar ke luar bandar dijangka terus meningkat sehingga tiga peratus lagi tahun ini iaitu daripada 16.7 peratus pada 2022 kepada hampir 20 peratus berikutan kos sara hidup yang menekan di bandar-bandar.

Senario itu berlaku berpunca disebabkan pendapatan bulanan isi rumah pada jumlah RM6,000 sebulan masih belum dapat menampung kehidupan seharian rakyat sebaliknya di luar bandar dengan gaji bulanan RM3,000 sudah memadai.

Mengulas lanjut, Bashir Ahmad berkata, pada empat tahun lalu, pendapatan bulanan isi rumah di bawah RM2,500 dikategorikan sebagai miskin bandar, namun disebabkan wabak Covid-19 angka tersebut meningkat satu kali ganda kepada RM4,000.

Menurutnya, pelbagai faktor menyumbang kepada berlakunya peningkatan tersebut, antaranya nilai mata wang ringgit menyusut pada satu kadar terendah sehingga menyebabkan kos mengimport barangan seperti sayuran, daging, beras dan sebagainya melonjak sekali gus memberi kesan kepada pasaran tempatan.

“Faktor lainnya adalah disebabkan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak empat kali yang memberi kesan kepada pinjaman sedia ada rakyat. Ini menambah tekanan kepada mereka kerana pendapatan diperoleh terpaksa digunakan untuk membayar hutang.

“Kenaikan cukai baru-baru ini juga menambah tekanan tersebut dengan peningkatan tarif air dan elektrik yang memberi kesan jelas terhadap golongan miskin bandar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN