RM50 juta setahun baiki paip bocor di Kelantan

RM50 juta setahun baiki paip bocor di Kelantan

DR. Izani Husin (kanan) melihat proses rawatan air ketika meninjau ke Tapak Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Chicha 2 di Pasir Hor, Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menjangka kos bagi kerja-kerja membaiki paip bocor yang menjadi antara penyumbang utama masalah air tidak berhasil (NRW) tinggi di negeri ini meningkat sehingga RM50 juta setahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, ia meningkat berikutan penggunaan sistem khas untuk mengesan kebocoran paip di seluruh negeri, selain kenaikan kos barangan dan tenaga buruh.

Menurutnya, sebelum ini kerajaan membelanjakan kira-kira RM28 juta bagi tujuan tersebut.

“Cabaran utama ketika ini ialah mengesan lokasi kebocoran kerana kebanyakan paip berada jauh di dalam tanah menyebabkan air yang bocor tidak timbul ke permukaan, sebaliknya terserap ke dalam tanah dan hanya dapat dikenal pasti apabila berlaku tekanan air rendah.

“Seterusnya kita perlu mengesan di mana kebocoran berlaku dan ia memerlukan peralatan atau sistem khas yang akan meningkatkan kos, selain penambahan tenaga kerja. Bayangkan air yang keluar hilang lebih 50 peratus dan kita cuba kesan. Bila dapat kesan kebocoran, kita kena baiki dan semua itu melibatkan kos tinggi,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Loji Rawatan Air (LRA) Chicha 2, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu memberitahu, Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) menjangkakan sebanyak 50,000 kebocoran paip dapat dikesan di seluruh negeri sehingga akhir tahun ini sebagai sebahagian usaha mengurangkan kadar NRW.

Katanya, kos penggantian 4,000 kilometer paip di seluruh negeri kini meningkat kepada RM1 juta bagi setiap kilometer dan berharap projek itu dapat diselesaikan selari dengan jangkaan penyiapan rangkaian LRA di seluruh Kelantan menjelang 2030.

Dr. Izani berkta, kadar NRW di Kelantan kini masih sekitar 55 peratus dan disasarkan dapat dikurangkan kepada 40 peratus menjelang 2030 menerusi penggantian paip serta penyiapan semua projek LRA.

Katanya, LRA Chicha 2 yang dibina dengan kos RM55 juta dan dijadual dilancarkan secara rasmi pada September ini akan membolehkan 10,000 akaun di Jalan Pasir Puteh, Telipot, Pasir Hor dan Mulong diaktifkan semula dengan kapasiti pengeluaran 20 juta liter air sehari.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN