JOHOR BAHRU: Keseronokan dua rakan berusia 14 tahun yang sedang mandi di Sungai Plentong berhampiran Jambatan Permas, di sini petang tadi berakhir tragedi selepas seorang daripadanya dikhuatiri lemas.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Saiful Bahari Mahpop berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 3.30 petang.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya dan BBP Skudai dikejarkan ke lokasi bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS), sebuah Hilux serta sebuah bot.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati terdapat dua mangsa dipercayai lemas ketika melakukan aktiviti mandi-manda di sungai tersebut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, seorang mangsa berjaya diselamatkan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala seorang lagi mangsa masih hilang.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan penilaian awal sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan kejadian. Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) turut dimaklumkan bagi membantu operasi SAR.
“Operasi membabitkan seramai 17 anggota dan usaha mengesan mangsa yang hilang masih diteruskan,” katanya.-UTUSAN










