Sukar dapat job berlakon gara-gara sudah bertudung? - Utusan Malaysia

Sukar dapat job berlakon gara-gara sudah bertudung?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dengar-dengarnya, pelakon Shasha Abedul pernah meluahkan bahawa dirinya kini agak sukar mendapat tawaran berlakon selepas mengambil keputusan untuk berhijab.

Bukan kerana sudah mendirikan rumah tangga. Bukan juga kerana suami melarang dirinya meneruskan kerjaya seni. Tetapi, khabarnya, sejak tampil dengan imej bertudung, peluang lakonan yang datang tidak lagi seperti dahulu. Aduhai, Cik Bunga garu kepala juga mendengarnya.

Cik Bunga tidak mahu menuduh sesiapa, apatah lagi membuat kesimpulan bahawa seluruh industri memandang sebelah mata terhadap pelakon wanita berhijab. Tetapi kalau benar perubahan imej menjadi sebab seseorang pelakon semakin kurang diberikan peluang, perkara itu wajar direnungkan bersama.

Pada pandangan Cik Bunga, Shasha bukan pelakon yang sekadar bergantung pada rupa atau populariti. Dia ada mutu dan kemampuan untuk membawa watak dengan baik. Lihat sahaja lakonannya dalam filem Malam Terlarang. Bagus!

Shasha membuktikan bahawa dia mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh sekiranya diberikan watak, naskhah dan peluang yang tepat.

Jadi, tidak akanlah hanya kerana sekarang dia sudah mengenakan tudung, terus namanya diketepikan daripada pertimbangan penerbit dan pengarah?Janganlah begitu.

Industri seni sepatutnya semakin terbuka dalam mencari ruang dan watak sesuai untuk pelakon dengan pelbagai imej serta latar belakang. Bukannya apabila seseorang artis membuat pilihan peribadi dalam kehidupannya, peluang kerjayanya pula menjadi semakin sempit.

Cik Bunga berharap apa yang didengar ini sekadar salah faham atau keadaan sementara. Kalau benar Shasha sedang melalui fasa sukar mendapatkan tawaran, harap-harap ada penerbit dan pengarah yang masih memandang kepada bakat serta kemampuan lakonannya.

Rugi kalau bakat yang bagus dibiarkan begitu sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN