Mangsa banjir kilat Kota Tinggi meningkat 300 orang - Utusan Malaysia

Mangsa banjir kilat Kota Tinggi meningkat 300 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seramai 300 mangsa banjir kilat ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang sama iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lintang sehingga pukul 8 malam tadi.

Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan mendadak berbanding 88 orang mangsa yang dipindahkan pada pukul 4 petang tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, 300 mangsa berkenaan adalah daripada 69 keluarga.

Katanya kesemua mangsa terjejas dari Kampung Temenin Baru dan Kampung Desa Makmur.

“Menurut pemantauan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran, dua daerah Kota Tinggi mengalami hujan berterusan sejak pukul 8 pagi sehingga pukul 4 petang tadi.

“Manakala keadaan cuaca pada sehingga pukul 8 malam adalah mendung. Selain Kota Tinggi, daerah Kluang, Kulai dan Mersing turut mengalami cuaca mendung. Manakala daerah lain adalah cerah.

“Menurut laporan Jabatan Ukur dan Pementaan Malaysia, lima lembangan sungai di daerah Kota Tinggi, membabitkan Sungai Johor di Rantau Panjang, Sungai Johor di Kota Tinggi, Sungai Sembilang di Kampung Sungai Sembilang, Sungai Sedili Kecil di Sedili Kecil dan Sungai Ulu Sedili Besar di Batu 52 Sedili, masih berada pada aras normal,”katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata daerah ini merima taburan hujan yang tinggi sejak pagi tadi sehingga menyebabkan beberapa penempatan penduduk dan jalan telah digenangi air.

“Hasil pemantauan di beberapa lokasi jalan raya, masih terdapat dua jalan raya utama masih terjejas yang melibatkan kawasan Jalan Kota Tinggi – Kluang (berhampiran kawasan pelupusan sampah) membabitkan jarak 100 meter dengan kedalaman 0.30 meter.

“Selain itu, Jalan Kota Tinggi – Kluang (berhampiran simpang tiga jalan ke air terjun) membabitkan jarak 200 meter dengan kedalaman 0.40 meter.

“Polis Kota Tinggi mengingatkan kepada pemandu kenderaan agar sentiasa berhati-hati semasa memandu terutama dikawasan digenangi air dan, mematuhi papan tanda amaran yang ditempatkan di kawasan-kawasan terjejas banjir kilat,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN