Yayasan Harik santuni mangsa ribut Kampung Datuk Keramat - Utusan Malaysia

Yayasan Harik santuni mangsa ribut Kampung Datuk Keramat

Yayasan Harik
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 21 keluarga yang terjejas akibat kejadian ribut di Kampung Datuk Keramat baru-baru ini menerima bantuan keperluan asas menerusi inisiatif Yayasan Harik.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Harik, Harik Fauzi berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban keluarga terjejas melalui sumbangan bakul rezeki serta barangan keperluan harian.

Beliau berkata, program yang diadakan semalam itu dilaksanakan susulan permohonan daripada Pengerusi Masjid Al-Akram Datuk Keramat, Mejar Jeneral (B) Datuk Ahmad Hadiatullah Mohd Ridzuan, yang memaklumkan keadaan mangsa serta keperluan bantuan segera.

“Bantuan kepada mangsa bencana, termasuk insiden berskala kecil di kawasan bandar, wajar disalurkan segera bagi memastikan kebajikan keluarga terus terpelihara.

“Saya percaya bantuan seperti ini perlu disampaikan dengan pantas, penuh rasa tanggungjawab dan semangat kebersamaan,” katanya.

Pada 26 Jun lalu, kejadian ribut yang melanda Kampung Datuk Keramat mengakibatkan 21 kediaman mengalami kerosakan, sekali gus menjejaskan kehidupan penduduk terlibat.

Yayasan Harik
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Harik, Harik Fauzi.

Harik berkata, kerjasama antara badan kebajikan, institusi masjid, sektor korporat dan individu penyumbang mampu memperkukuh jaringan bantuan kepada masyarakat, khususnya ketika berdepan situasi bencana.

Katanya, Yayasan Harik akan terus memperkasakan agenda kebajikan masyarakat menerusi pendekatan “Rakyat Untuk Rakyat” dengan memberi tumpuan kepada bantuan keperluan asas serta memperkukuh sokongan komuniti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN