MB ingatkan Mohd Shukri jangan langgar titah Raja Perlis

MB ingatkan Mohd Shukri jangan langgar titah Raja Perlis

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang,  Mohd. Shukri Ramli supaya berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menyemarakkan lagi suhu politik di negeri ini.

Dalam masa sama, beliau juga mengingatkan bekas Menteri Besar itu agar tidak lagi membangkitkan soal usul undi tidak percaya terhadap beliau, kerana sebarang percubaan ke arah itu boleh melanggar titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang mahu kestabilan kerajaan negeri dikekalkan hingga habis penggal.

Katanya, usaha melakukan undi tidak percaya bukan sahaja melanggar titah Tuanku Syed Sirajuddin malah sebarang perbuatan atau tindakan mengeluarkan kenyataan berbaur provokasi berkenaan boleh mengakibatkan Mohd Shukri didakwa di bawah Akta Hasutan berkaitan isu 3R (agama, bangsa dan raja).

“Satu Malaysia dan satu dunia tahu titah Tuanku Raja Perlis dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini (ini kerajaan beta ). Jika beliau (Mohd. Shukri) berani buat (usul undi tidak percaya), bermakna beliau telah melanggar titah Tuanku Raja Perlis.

“Saya menasihati bekas Menteri Besar itu agar tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menyemarakkan lagi keadaan,” katanya ditemui di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abu Bakar berkata, tindakan beliau meletak jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) atau pergolakan kepimpinan di peringkat nasional.

Katanya, keputusan tersebut diambil bagi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran kerajaan negeri dan menyusun semula Bersatu Bahagian Kangar berikutan wujud pergerakan beberapa ahli jawatankuasa yang ingin meninggalkan parti itu.

“Saya masih kekal sebagai ahli dan Pengerusi Bersatu negeri. Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen terikat dengan Akta Anti Lompat Parti, justeru isu pertukaran kerajaan atau pembubaran DUN tidak berbangkit sama sekali.

“Saya hanya melepaskan jawatan MPT Bersatu yang dimenangi pada 2024 lalu, bukannya keluar parti dan masih kekal sebagai Pengerusi Bersatu negeri,” katanya.

Mengenai tindakan Ahli Dewan Negara, Azahar Hassan keluar parti, Abu Bakar menyifatkan ia sebagai keputusan peribadi.

“Keputusan itu dibuat tanpa sebarang perbincangan bersama kepimpinan parti di peringkat negeri. Tiada tindakan meninggalkan Bersatu membabitkan ahli di peringkat cawangan yang mengikut jejak Azahar ketika ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN