KUANTAN: Sumbangan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Siswa akan dinaikkan kepada RM500 jika kerajaan Pahang berjaya mencapai hasil kutipan negeri RM1.6 bilion tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan pada tahun ini berjumlah RM400 meningkat berbanding RM300 tahun lalu.
Katanya, peningkatan itu berikutan keprihatinan kerajaan negeri tentang kesulitan dihadapi mahasiswa yang mengalami bebanan kewangan.
“Saya telah berjanji kepada mereka untuk meningkatkan bantuan ini sekiranya kedudukan kewangan kerajaan negeri bertambah baik atau berlaku pertambahan hasil sebanyak RM1.6 bilion. Sebab kita dapat merasakan sebagai seorang pelajar semestinya menghadapi sedikit sebanyak kesulitan kewangan.
“Kami semua pernah menjadi pelajar. Jadi kita pernah rasa keadaan ketika itu empat tahun begitu perit hendak menghabiskan pelajaran. Jadi sumbangan ini boleh meringankan bebanan kewangan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran BPP Kluster Siswa 2024 di Dewan Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, Belanjawan Negeri 2024 memperuntukkan sebanyak RM14.18 juta bagi pelaksanaan BPP Siswa pada tahun ini.
“Peningkatan jumlah peruntukan daripada RM8 juta ringgit pada tahun lalu kepada RM14.18 juta ringgit pada tahun ini.
“Jumlah penerima keseluruhan BPP Kluster Siswa 2024 adalah seramai 19,525 orang mahasiswa yang terdiri daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik, Kolej Komuniti dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) milik kerajaan negeri.
“Saya berharap siswa siswa dapat menggunakan sumbangan kerajaan negeri ini untuk keperluan pembelajaran mereka atau apa sahaja untuk diri mereka, gunakan sebaik mungkin,” katanya. – UTUSAN










