Lembaga Koko Malaysia laksana projek tanaman baharu koko seluas 350 hektar - Utusan Malaysia

Lembaga Koko Malaysia laksana projek tanaman baharu koko seluas 350 hektar

JOHARI Abdul Ghani (tengah) ketika melancarkan KitKat Dark Borneo Nestle di Pusat Inovasi dan Teknologi Koko, Lembaga Koko Malaysia, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lembaga Koko Malaysia akan melaksanakan projek tanaman baharu koko seluas 350 hektar pada tahun ini dan projek pemulihan kebun koko seluas 2,126 hektar melibatkan peruntukan sebanyak RM9.5 juta.

Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dengan inisiatif tersebut diharap dapat menghasilkan limpahan ekonomi dan mempergiatkan aktiviti ekonomi di sepanjang rantaian bekalan.

Menurutnya, bagi membangunkan industri koko, LKM menggalakkan tanaman secara skala besar melalui kerjasama pembangunan kawasan tanaman koko bersama agensi-agensi kerajaan dan syarikat perladangan swasta.

“Pengisar di Eropah tetap akan bergantung kepada negara-negara tropika seperti Malaysia untuk membekalkan biji koko. Oleh itu, kita mesti mengambil peluang ini untuk meningkatkan hasil dan pengeluaran biji koko, terutamanya biji premium yang mempunyai nilai tinggi seperti yang digunakan dalam produk KitKat Dark Borneo.

“Kerjasama antara pihak kerajaan dan pihak industri juga amat dialu-alukan. Misalnya, kolaborasi antara LKM dan Nestle yang telah bermula pada tahun 2022 dan jalinan kerjasama yang telah ditandatangani pada September 2023, dapat meningkatkan pendapatan petani dan pengeluaran koko secara mampan yang memanfaatkan semua pihak,” katanya,

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran KitKat Dark Borneo Nestle di Pusat Inovasi dan Teknologi Koko, Lembaga Koko Malaysia, Nilai, di sini hari ini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah, Lembaga Koko Malaysia, Datuk Dr. Ramle Kasin dan Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (M) Berhad, Juan Aranols.

Johari dalam pada itu memberitahu, industri koko berpotensi untuk memberi pulangan yang lumayan kepada kira-kira 5,317 para pekebun kecil koko yang merangkumi 89 peratus daripada kawasan tanaman koko di negara ini sekali gus menjana pendapatan yang tinggi kepada ekonomi negara.

“Hal ini disokong oleh dua faktor utama iaitu Malaysia merupakan antara pemain utama koko di dunia terutamanya di peringkat pertengahan (midstream) dan hiliran (downstream). Pada tahun 2023, tujuh peratus atau sebanyak 370,207 tan biji koko telah dikisar di Malaysia, menjadikan negara kita pengisar kelima terbesar di dunia, selepas Ivory Coast, Belanda, Indonesia dan Jerman dan industri koko juga telah menyumbang sebanyak RM8.2 bilion kepada hasil eksport negara.

“Faktor kedua industri koko ini pula ia mempunyai potensi yang cukup besar adalah harga koko yang tinggi. Harga biji koko telah meningkat dengan mendadak sebanyak 200 peratus daripada sekitar RM9,000 bagi setiap tan pada tahun 2023 kepada lebih RM28,000 bagi setiap tan pada April 2024, harga ini dijangka kekal tinggi dan konsisten bagi tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Aranols berkata, KitKat Dark Borneo merupakan inovasi terbaharu syarikat itu yang dibuat secara eksklusif menggunakan biji koko premium yang ditanam di Sabah dan Sarawak.

Jelas beliau, produk itu hasil jalinan kerjasama strategik bersama Lembaga Koko Malaysia bagi mengembangkan program ‘Farmer Connect Nestle Malaysia ke Malaysia Timur melalui Nestle Borneo Inisiatif Koko (NBCI) yang dilancarkan pada bulan September tahun lepas.

Katanya, ia juga adalah usaha pertanian terbaharu oleh Nestle Malaysia untuk menyokong amalan pertanian yang lebih baik dan mampan seterusnya menyumbang kepada keselamatan makanan negara dan mempertingkatkan mata pencarian untuk petani yang terlibat.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN