MELAKA: Semua 20 peserta Konvoi Jelajah Silaturahim Malaysia ke Mekah 2024 yang bertolak dari Melaka pada 19 Mac lalu selamat sampai di tanah suci dan kini menunaikan umrah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Kumpulan Dua, Shamsul Rosli, 59, berkata, kesemua peserta tiba di Mekah dalam keadaan berbeza berikutan ketegangan yang berlaku di sempadan Iran.
Menurutnya, dia yang memandu Campertruck Toyota Hilux bersama isteri, Zurina Bujang dengan empat kenderaan hanya dapat menamatkan konvoi di Lahore, Pakistan.
Katanya, dia hanya melalui jarak perjalanan dari Melaka hingga ke Lahore sejauh 8,600 kilometer (km) selama 45 hari.
“Kami ambil keputusan tidak mahu menanggung risiko berikutan ketegangan di sempadan Iran dan letakkan semua kenderaan di Lahore serta menaiki penerbangan ke Jeddah untuk mengerjakan umrah dan haji,” ujarnya ketika dihubungi selepas melakukan tawaf.
Shamsul berkata, Ketua Kumpulan 1, Muhammad Fauwaz Zamzam bersama rakannya Sazali Hassan Basri tiba lebih awal seminggu.
Katanya, Muhammad Fauwaz mengambil risiko melalui Iran serta sampai ke Mekah bersama kenderaannya.
“Muhammad Fauwaz sudah pulang ke Malaysia seorang diri kerana tidak dapat cuti panjang dan sudah mula bekerja manakala kereta (dipandunya) di Mekah,” ujarnya.










