KOTA BHARU: Seorang kontraktor jalan raya dari Kampung Lubok Jambu di sini membuktikan padi berkonsepkan semula jadi iaitu bebas daripada penggunaan racun dan baja mampu hidup subur dan mengeluarkan hasil lumayan.
Menariknya, padi dari jenis varieti MR297 yang ditanam di tanah seluas empat hektar itu menggunakan kaedah tradisional seperti mencedung dan melandak selain bergantung sepenuhnya kepada air.
Mohd. Yusri Mohammad Nor, 49, berkata, ini merupakan musim kedua padi yang diusahakannya itu mengeluarkan hasil.
Menurutnya, musim pertama lalu dia memperoleh hasil sebanyak dua tan selepas mendapat tunjuk ajar pesawah dari Indonesia, Aep Saepudin.
“Walaupun padi di kawasan berhampiran tidak menjadi disebabkan oleh masalah air, alhamdulillah hasil tanaman saya masih tumbuh dengan segar.
“Saya menyediakan sumber air dari telaga tiub dan sistem sendiri bagi memastikan mencukupi walaupun musim kemarau,” katanya ketika ditemui pemberita di Baruh Padi Alami di sini semalam.
Mohd. Yusri yang merupakan Pengarah Urusan Yusri Maju Sdn. Bhd memberitahu, melihat kepada keadaan padi ketika ini dia mampu memperoleh peningkatan hasil lebih dua ganda berbanding musim pertama.
“Saya sudah memperoleh lesen untuk mengeluarkan beras dan saya sudah mempunyai kilang padi mini untuk memproses hasil,” ujarnya.
Katanya, idea untuk menanam padi secara semula jadi ini tercetus semasa dalam perjalanan dari Iowa ke Nebraska, Amerika Syarikat (AS), enam tahun lalu.
Jelasnya, sepanjang perjalanan dia melihat tanaman di kawasan tersebut subur meskipun dibiarkan secara semula jadi.










