SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mengingatkan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini supaya mengenepikan agenda politik sempit, sebaliknya bekerjasama atas nama perpaduan dan kebajikan rakyat.
Titah baginda, dalam mengharungi senario ekonomi yang mencabar hari ini, kestabilan landskap politik amat penting agar segala dasar-dasar yang telah dirangka dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
“Beri fokus kepada projek-projek dan program yang telah dirangka agar dapat diterjemahkan dan dapat dirasai oleh rakyat.
“Adalah menjadi tanggungjawab ahli-ahli yang berhormat untuk memimpin dan membimbing rakyat agar sama-sama bersedia bergerak membina sebuah negeri dan negara yang teguh bersatu, sejahtera dan makmur.
“Ketahuilah bahawa ahli-ahli yang berhormat sentiasa diperhati dan dinilai oleh rakyat di luar sana. Dunia digital tanpa sempadan hari ini menjadikan segala tindakan dan perbuatan ahli-ahli yang berhormat akan segera diketahui dan dinilai oleh rakyat,” menurut baginda ketika Titah Ucapan Diraja pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Tuanku Muhriz dalam pada itu juga mengingatkan kepada semua ADUN untuk berbahas dan berhujah secara rasional dan intelektual atas perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan dan manfaat bersama serta menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.
“Beta mengingatkan Ahli Dewan yang mulia ini agar sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
“Peraturan-Peraturan Tetap Dewan juga hendaklah sentiasa dipatuhi semasa berhujah dan sepanjang persidangan berlangsung. Berpeganglah kepada prinsip mendahulukan kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri dalam setiap hujah yang disampaikan,” tegas baginda.
Sebagai Ketua Agama Negeri, Tuanku Muhriz dalam pada itu menyatakan supaya perhatian serius diberikan terhadap usaha meningkatkan ekonomi dan ilmu pengetahuan umat Islam dengan masjid dan surau dapat dijadikan tempat untuk menyebarkan lagi syiar Islam.
“Ia bukan setakat hanya bagi tujuan mendirikan solat bahkan sebagai pusat perkembangan ilmu, penyebaran dakwah, pusat aktiviti sosial dan medan penyatuan ummah.
“Oleh itu, institusi masjid dan surau juga harus berperanan sebagai tempat atau lokasi penganjuran pelbagai program kemasyarakatan, sama ada dianjurkan oleh agensi kerajaan, swasta, pertubuhan dan persatuan,” titah baginda lagi.
Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Kedua DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 akan berlangsung selama lima hari bermula hari ini sehingga 10 Mei ini.-UTUSAN.










