KUALA LUMPUR: Masih ada baki lebih kurang 70 juta iaitu tujuh peratus daripada RM1.035 bilion kutipan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tidak disalurkan sepenuhnya kepada asnaf tahun lalu.
MAIWP telah mengagihkan 93 peratus kutipan zakat iaitu RM952 juta kepada lapan warga asnaf melalui 38 skim bantuan.
Bekas menteri agama, Datuk Idris Ahmad berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kutipan itu merupakan hasil sumbangan seramai 1.85 juta rakyat di negara ini.
Katanya, jika kutipan itu digunakan sepenuhnya, golongan asnaf terutama yang menetap di bandar tidak akan sentiasa bertambah setiap tahun.
“Setiap tahun, ada kenaikan penerima zakat. Ini gagal. Sepatutnya kita mesti turunkan jumlah penerima asnaf dari semasa ke semasa. Ini perlu intervensi kerajaan, pasal ini duit orang bagi dekat RM1 bilion kutipan zakat.
“Jadi saya rasa duit ini kena habiskan, beri kepada asnaf yang mampu untuk bekerja, latih dia. Beri pada orang yang memang layak dapat hak dia,” katanya dalam wawancara bersama Utusan Malaysia baru-baru ini.
Justeru, katanya, kerajaan mesti mengurangkan golongan asnaf dan membantu mereka keluar daripada kemiskinan.
“Saya harapkan orang asnaf ini dalam lima ke enam tahun akan datang, mereka pula akan menjadi muzakki, orang yang keluarkan zakat. Saya tak mahu dia mewarisi kemiskinan dengan sifat mengharapkan, itu hasrat saya, bila ada kuasa kita buat.
“Ini bukan soal malas, mereka bersemangat tapi kadang-kadang sangkut sebab masalah duit. Dia orang memang rajin. Yang rosakkan, bila kita beri bukan berdasarkan pada hasrat orang itu, tapi kerana politik. Sampai kiamat pun tak maju macam itu. Nabi pun sebut, berilah pada orang yang berhak dapat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengharapkan kerajaan dapat memperkasakan mahkamah syariah dengan segera tahun ini bagi mengelakkan lebih banyak insiden yang tidak diingini di masa akan datang.
“Orang Islam majoriti di negara ini tapi nampak macam mahkamah syariah lagi belakang dari mahkamah sivil. Ini keadaan yang pelik. Nasib baik hari ini ada mahkamah syariah. Kalau hari ini baru nak tubuh mahkamah syariah, saya rasa tak lulus. Tak akan wujud macam ini punya keadaan. Akan ada yang kata, apa lagi perlu undang-undang syariah kalau hukuman di mahkamah sivil lebih tinggi daripada mahkamah syariah.
“Pasal apa tak bagi bidang kuasa syariah? Bidang kuasa syariah takkan setakat denda dan penjara berapa tahun sahaja. Kalau macam ini, baik tak payah. Tapi katanya, Majlis Raja-Raja melalui MKI akan bertindak, kita harap-harapkan ada sinar pada kita. Ini hak kita. Kita tak ganggu hak orang lain, hormatlah,” katanya.










