JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia lima tahun ditemukan mati lemas selepas terjatuh di Sungai Skudai berhampiran Kampung Sepakat Baru, di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulbahri Safar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 5.59 petang.
Katanya, seramai tujuh anggota daripada Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Skudai dikejarkan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi mencari mangsa melibatkan pencarian di permukaan di sepanjang tebing sungai sepanjang 800 meter dan selaman dengan teknik ‘swift wiping’ oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).
“Setelah hampir lima jam mencari, mayat mangsa ditemui pada jarak 130 meter daripada lokasi mangsa dilaporkan jatuh dengan kedalaman air empat meter pada pukul 11.15 malam tadi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Saifulbahri berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi SAR ditamatkan pukul 1.20 pagi tadi.










