WASHINGTON: Gelombang haba yang memecahkan rekod melanda bahagian tengah Amerika Syarikat (AS) pada Ahad, dengan suhu mencatat paras tertinggi baharu dari kawasan utara Great Plains hingga ke wilayah Rocky Mountains.
Sementara itu, di Bandar Salt Lake, ibu negeri Utah dan Billings, bandar terbesar di Montana, suhu mencecah 43 darjah Celsiu), menurut data awal Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS.
Kedua-dua bacaan itu merupakan suhu tertinggi pernah direkodkan di bandar masing-masing sejak rekod mula disimpan lebih 150 tahun lalu, mengatasi rekod terdahulu.
Rekod terdahulu ialah 42 darjah Celsius di Bandar Salt Lake dan 42 darjah Celsius di Billings.
Cuaca panas melampau itu turut menjejaskan usaha memadam kebakaran hutan besar yang sedang marak di Colorado dan Utah, dengan suhu tinggi dijangka berterusan sehingga Selasa.
Lebih seminggu lalu, bahagian timur AS turut dilanda satu lagi gelombang haba yang menyebabkan suhu mencecah sekitar 40 darjah Celsius di New York dan Philadelphia.
Dalam pada itu, di seluruh dunia, gelombang haba semakin kerap berlaku dan menjadi lebih ekstrem akibat perubahan iklim, yang sebahagian besarnya berpunca daripada pembakaran arang batu, minyak dan gas serta pelepasan gas rumah hijau.
Eropah Barat pula mengalami bulan Jun paling panas dalam sejarah rekod dengan gelombang haba itu mengorbankan lebih 1,300 orang di seluruh rantau berkenaan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – AFP










