ALOR GAJAH: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memproses pencetakan sebanyak 136,238 permohonan Kad Pengenalan Kanak-kanak (MyKid) yang tertunggak sejak 2023, mulai Julai ini.
Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias berkata, jumlah itu adalah bagi tempoh 2023 hingga Mac tahun ini.
Kata beliau, isu pengeluaran MyKid yang ditangguhkan sementara sejak 2021 dijangka dapat diselesaikan secara berperingkat.
“Terdapat 135,459 permohonan MyKid tertunggak pada tahun lepas dan sebanyak 779 permohonan lagi pada tahun ini di seluruh negara. Kita telah mengeluarkan surat setuju terima kepada pembekal pada April dan kad tersebut telah dibuat sesi pengujian.
“Buat masa ini kita masih lagi menunggu pembekalan kad MyKid. Kita harap dalam Julai sudah boleh keluarkan (MyKid) tetapi tertakluk kepada seberapa cepat kad berkenaan dapat dibekalkan kepada kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penamaan Semula Pejabat JPN Alor Gajah di sini, hari ini.
Sementara itu, mengenai inisiatif van Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) JPN, Badrul Hisham berkata, Melaka menerima sebuah van bagi tujuan itu yang akan memberi keutamaan perkhidmatan di tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurutnya, DUN yang terlibat adalah Tanjung Bidara, Kuala Linggi, Ayer Limau, Taboh Naning, Asahan, Merlimau dan Sungai Rambai.
“Tujuh DUN ini terletak lebih 20 kilometer dari Pejabat JPN yang terhampir. Van Mekar JPN akan digerakkan ke lokasi tumpuan awam pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat secara berjadual.
“Perkhidmatan yang berkonsepkan inisiatif turun padang ini dapat menerima dan memproses permohonan kad pengenalan kali pertama, gantian, sijil kelahiran dan kematian,” ujarnya. – UTUSAN










