KOTA BHARU: Lagenda bola sepak Kelantan Mohd. Badhri Radzi atau Piya mengingatkan mana-mana individu yang dipilih untuk menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan supaya tidak mudah ‘koyak’ jika berdepan kritikan pedas daripada penyokong.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Piya berkata, seorang kapten perlu mempunyai mental yang kuat kerana individu tersebut adalah tunjang kekuatan pasukan.
Menurutnya, jika kapten lemah seluruh pasukan akan menjadi tidak bermaya sekali gus menjejaskan keseluruhan permainan pasukan.
“Bagi saya setiap kritikan yang diberikan oleh penyokong itu perlu dijadikan sebagai cabaran dan kapten tidak boleh bersifat lemah semangat.
“Ketepikan segala kritikan itu, sebaliknya, fokus dan pamerkanlah aksi terbaik jika diberi mandat oleh jurulatih untuk beraksi,” katanya selepas diminta mengulas kenyataan kapten skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Mukhairi Ajmal Mahadi menyedari bahawa dirinya tidak disukai penyokong bola sepak tanah air susulan prestasi ‘buruk’ dipamerkan sepanjang kempen Piala Asia B-23 Qatar.
Piya memberitahu, menang dipuji dan kalah dikeji merupakan asam garam yang perlu dilalui oleh setiap pemain bola sepak.
“Sebagai kapten kita tidak perlu mengalah, sebaliknya balas krtitikan itu dengan memberikan aksi terbaik dan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.
“Saya sendiri pernah berdepan pelbagai kecaman daripada peminat walaupun berada pada kemuncak prestasi semasa berkasi bersama The Red Warriors (TRW),” ujarnya.
Bekas pemenangan anugerah pemain paling bernilai (MVP) Liga Malaysia 2013 itu menasihatkan
Mukhairi Ajmal supaya kekal fokus kepada prestasi dan berjuanglah dengan sepenuh jiwa setiap kali bermain.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kapten skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Mukhairi Ajmal Mahadi menyedari bahawa dirinya tidak disukai penyokong bola sepak tanah air susulan prestasi ‘buruk’ dipamerkan sepanjang kempen Piala Asia B-23 Qatar.
Mukhairi yang juga pemain Selangor FC mengakui bahawa prestasinya di pentas Piala Asia B-23 tidak seperti diharapkan selain kurang memberi impak kepada pasukan dalam usaha memperoleh keputusan positif untuk pasukan.
Dia turut kecewa dengan persembahan yang dipamerkan dalam tiga perlawanan sebelum ini sekali gus menerima setiap kritikan yang dilemparkan terhadap dirinya.










