Isu SRA JAIM, Ab. Rauf akui sistem birokrasi perlu ditambah baik

Isu SRA JAIM, Ab. Rauf akui sistem birokrasi perlu ditambah baik

AB. RAUF Yusoh menyampaikan anugerah kepada seorang penerima pada Majlis Apresiasi dan Penyampaian APC Zakat Melaka di sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri akan memastikan kerenah birokrasi dalam pembelian peralatan pembelajaran termasuk meja dan kerusi di Sekolah
Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dihapuskan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, penambahbaikan perlu dilakukan segera agar tidak wujud lagi masalah sedemikian yang boleh menjejaskan sesi pembelajaran murid-murid.

Menurutnya, isu itu tidak sepatutnya berlaku kerana peruntukan bagi pembelian kerusi dan meja di SRA JAIM Ayer Merbau, Jasin dekat sini sudah diluluskan pada Disember lalu.

“Kita akan lihat bagaimana masalah satu kelas ini boleh terlepas, memandangkan ini adalah sekolah baharu yang telah siap 95 peratus daripada segi peralatan sekolah yang disediakan untuk 21 kelas.

“Memang benar ada sistem birokrasi yang perlu ditambah baik untuk dilihat, bagaimana sudah lima bulan sekolah tersebut tidak menerima peralatan berkenaan.

“Jadi kerajaan negeri akan melihat dan memantau kaedah penambahbaikan yang akan dilakukan nanti agar tiada lagi masalah birokrasi berlaku selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Zakat Melaka di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, masalah ketiadaan kerusi dan meja dihadapi 34 murid SRA JAIM Ayer Merbau yang sudah berlarutan hampir lima bulan berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Sebelum ini, murid-murid terlibat hanya menggunakan rehal dan duduk bersila atas lantai ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) sejak awal tahun.

Dalam lawatan kerja ke kelas berkenaan Rabu lalu, Muhamad Akmal dilihat tidak berpuas hati dengan alasan diberikan seorang pegawai JAIM berhubung isu itu.

Berhubung insiden itu, Ab. Rauf berkata, situasi itu boleh dimurnikan dengan memberikan jawapan yang bijaksana.

“Sepatutnya jawapan harus diberikan bukan dalam bentuk sindiran ataupun emosional kerana ini menyebabkan pandangan serong masyarakat kepada kedua-dua pihak terbabit,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN