Imigresen tidak kompromi aspek keselamatan - Utusan Malaysia

Imigresen tidak kompromi aspek keselamatan

RUSLIN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Arahan dalaman Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berkaitan pengecualian syarat kemasukan bagi warganegara China dan India adalah bagi memperkemaskan proses kerja jabatan di pintu masuk negara.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh, arahan berkenaan selaras dengan pelaksanaan pemberian pengecualian visa bagi tempoh 30 hari kepada warganegara China dan India mulai 1 Disember 2023 hingga 31 Disember 2024.

Kata beliau, kemudahan ini adalah merupakan salah satu inisiatif diumumkan kerajaan di bawah Pelan Liberalisasi Visa.

“Sehubungan itu, jabatan ingin menegaskan bahawa arahan dikeluarkan tidak menjejaskan integriti aspek keselamatan yang sedia ada dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, proses kemasukan masih mengekalkan semakan keselamatan dengan kemasukan pelawat direkodkan dan semakan biometrik dilakukan di semua pintu masuk.

Kata beliau, pelawat yang berada di dalam senarai hitam dan senarai syak akan dapat dikesan dan dilarang masuk.

“Selain itu, pematuhan pengisian Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) kepada semua pengembara yang memasuki Malaysia masih dilaksanakan.

“Sistem MDAC merekod maklumat keberadaan pelawat dan membolehkan JIM mengesan keberadaan mereka sekiranya diperlukan terutamanya untuk tindakan penguatkuasaan,” jelasnya.

Ruslin berkata, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi terhadap aspek kawalan keselamatan dan komited melaksanakan usaha berterusan bagi memudahcara dan melancarkan pergerakan keluar masuk pelawat bagi menyokong pembangunan ekonomi negara.

Terdahulu tular satu surat ditandatangani oleh Ruslin bertarikh 2 Mei lalu mengenai pengecualian syarat kemasukan di semua pintu masuk yang diwartakan seluruh Malaysia bagi warganegara China dan India di bawah pelan liberalisasi visa.

Menerusi surat arahan itu, kerajaan dilaporkan bersetuju JIM membenarkan warganegara China untuk keluar dan masuk ke Malaysia tanpa mengambil kira penggunaan hampir sepenuhnya atau sepenuhnya tempoh maksima Pas Lawatan Sosial (PLS) secara terus-menerus.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN