Ejen hartanah didakwa tipu urusan sewa kedai - Utusan Malaysia

Ejen hartanah didakwa tipu urusan sewa kedai

YAU Hon Choong (tiga dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi didakwa atas tiga pertuduhan menipu dan memperdayakan tiga mangsa atas urusan sewa bangunan kedai tidak wujud keseluruhan berjumlah RM19,200 pada Mac dan April lalu.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang ejen hartanah didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas tiga pertuduhan menipu dan memperdayakan tiga mangsa atas urusan sewa bangunan kedai tidak wujud dengan nilai keseluruhan berjumlah RM19,200 pada Mac dan April lalu.

Tertuduh, Yau Hon Choong, 42, membuat pengakuan bersalah atas dua pertuduhan memperdayakan mangsa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan tidak bersalah atas pertuduhan menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Syed Farid Syed Ali.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM9,000 dengan seorang penjamin bagi setiap dua pertuduhan bersalah oleh tertuduh, jika gagal bayar perlu dipenjara selama tempoh sembilan bulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memperdayakan dua individu iaitu seorang wanita dan seorang lelaki dalam urusan sewaan lot serta bangunan kedai dengan menyatakan kononnya boleh mendapatkan rumah kedai bagi tujuan perniagaan.

Dengan itu, tertuduh dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM7,050 dan RM9,200 secara tunai dan pindahan secara atas talian ke dalam akaun bank tertuduh yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu dilakukan di Lorong Haruan Oakland, Jalan S2, Seremban dan Medan Perniagaan Senawang Jaya, Seremban antara 15 Mac hingga 25 April lalu.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara boleh sampai lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan menipu, tertuduh didakwa secara tidak jujur mendorong seorang wanita untuk membuat transaksi atas talian berjumlah RM3,000 bagi urusan sewa bangunan kedai yang tidak wujud ke dalam akaun bank tertuduh yang mana mangsa tidak akan menyerahkan sekiranya tidak diperdayakan oleh tertuduh.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan PPT 2, Pusat Perniagaan Templer, Seremban pada 6 April lalu.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjarakan minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dikenakan sebat serta denda.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, M.Pusppa memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh serta perlu mengambil kira kepentingan awam.

Tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, P.A Krishnaveni memohon jaminan paling minimum atas alasan tertuduh menjaga kedua ibu bapanya yang sudah tua selain bapanya menghidap kanser.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 Julai depan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN