KOTA BHARU: Tukang karut dan penyanyi lagu dikir barat serta daerah, Mohd. Fadil Mohd. Noor atau Fadil Turbo mengakui terkejut lirik yang dihasilkan dalam lagu Cinta Setandang Pisang atau Bey Sobar Bey ‘meletup’ sehingga ke Itali.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Fadil Turbo berkata, dia mengambil masa selama tiga hari untuk menyiapkan lirik tersebut walaupun terpaksa ‘berperang’ idea dengan komposer terkemuka tanah air, iaitu Eddie Hamid yang merupakan pencipta asal lagu tersebut.
Menurutnya, hal ini kerana melodi asal lagu itu mempunyai rentak rap dan perkara tersebut memerlukan sedikit masa.
“Apabila rentak rap itu dibuang, maka saya terpaksa memerah idea untuk menambah dua lagi rangkap di dalam lagu berkenaan. Jadi, situasi itu menyebabkan saya terpaksa mengambil masa sedikit.
“Biasa lirik lagu dihasilkan menggunakan ayat-ayat yang puitis dan menyamai dengan maksud. Namun, tidak kali ini apabila saya gunakan keadah bercakap dalam menghasilkan lirik,” katanya.
Fadil Turbo memberitahu, tindakan itu dibuat supaya mesej yang disampaikan jelas kepada pendengar lagu tersebut.
Katanya, di peringkat awal dia meramalkan lagu tersebut hanya menjadi siulan dalam kalangan penduduk di negeri ini berpandukan kepada penggunaan loghat Kelantan.
“Telahan saya ternyata silap apabila lagu itu ‘meletup’ dan terkenal di seluruh Malaysia dan dimainkan di corong-corong radio utama.
“Lebih mengejutkan, selain Indonesia, lagu ini turut ‘meletup’ sehingga ke Itali. Rentetan itu, ramai yang menghubungi saya untuk bertanya beberapa perkataan yang digunakan dalam lirik tersebut terutama lobey,” ujarnya.
Menyingkap maksud di sebalik lagu nyanyian duet Eda Ezrin dan Den Manjo itu, Fadil Turbo berkata, ia berkisar sifat cemburu buta seorang lelaki kepada kekasihnya.
Katanya, bagaimanapun salah anggap terhadap kekasihnya itu diselesaikan menerusi perundingan dan sikap tolak ansur selain saling percaya antara satu sama lain.
Video dalam Youtube itu telah ditonton oleh lima juta pengguna. – UTUSAN










