KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan pembelaan terhadap saman oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung pembelian barangan mewah antaranya barang kemas dan beg tangan berjumlah AS$346 juta yang dikatakan dibeli menggunakan wang diseleweng dari syarikat berkenaan.
Arahan tersebut dikeluarkan pada pengurusan kes saman tersebut yang dijalankan secara dalam talian dan disahkan oleh peguam, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Rosmah ketika dihubungi media.
Peguam terbabit turut memberitahu, mahkamah menetapkan 14 Jun ini untuk pengurusan kes lanjutan.
Pada 10 Mei lalu, 1MDB dan lima anak syarikatnya serta lima entiti pesisir luar telah memfailkan saman terhadap Rosmah dan seorang lagi wanita bernama Shabnam Naraindas Daswani atau turut dikenali dengan nama Natasha Mirpuri.
Laporan media sebelum ini menyatakan Shabnam merupakan seorang pereka fesyen daripada Singapura dan sering membantu Rosmah dalam mendapatkan barang kemas dan fesyen berkualiti tinggi.
Lima anak syarikat tersebut ialah SRC International Sdn. Bhd., 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd, 1MDB Energy (Langat) Ltd, Global Diversified Investment Company Ltd (1MDB Global Investments Ltd) sebagai plaintif kedua hingga keenam.
Antara entiti pesisir luar yang turut menjadi plaintif ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.
Sebelum ini, Rosmah pernah disaman oleh syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan untuk mendapatkan kembali 43 barang kemas yang bernilai RM67.5 juta.
Menurut writ yang difailkan, kesemua plaintif mendakwa kesemua barangan mewah tersebut telah diperoleh Rosmah bukan dengan menggunakan wangnya sendiri tetapi dengan menggunakan dana yang diselewang daripada 1MDB dan anak-anak syarikatnya.
“Dana (yang diseleweng) telah disalurkan melalui pelbagai entiti luar pesisir termasuk plaintif ketujuh hingga ke-11 sebelum pembayaran dibuat kepada 48 vendor-vendor luar negara untuk pembelian barangan mewah ini. Sebanyak 320 bayaran berjumlah AS$346,010,489 telah dibuat,” menurut writ tersebut.
Oleh itu, 1MDB dan anak-anak syarikatnya memohon agar Rosmah membayar AS$346,010,489 atau satu jumlah yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.
Kesemua plaintif turut memohon perintah agar Shabnam membayar ganti rugi atau pampasan yang akan ditaksirkan kemudian.
Selain itu, plaintif-plaintif turut memohon deklarasi plaintif pertama hingga keenam mempunyai hak terhadap barangan-barangan mewah tersebut yang kini didakwa berada dalam simpanan Rosmah.
Kesemua plaintif turut memohon perintah agar Rosmah mengembalikan barangan-barangan mewah itu kepada plaintif pertama hingga keenam. Turut dimohon ialah ganti rugi teruk, teladan, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai.










