HULU TERENGGANU: Seorang bekas guru berhabis hampir RM20,000 untuk mengubah suai stor di rumahnya di Taman Dato Abdul Rahman, Kuala Berang, di sini, menjadi galeri mini bagi menempatkan pelbagai koleksi bahan bacaan yang dikumpul sejak tahun 1970-an.
Mamat Ibrahim, 77, berkata, lebih 5,000 bahan bacaan termasuk majalah, akhbar serta buku diletakkan di galeri mini tersebut yang dinamakan Serambi Ilmu.
Menurutnya, galeri mini tersebut mula diubah suai pada Disember tahun lalu dan siap Februari lepas.
“Sebelum ini koleksi bahan bacaan milik saya disimpan secara merata di rumah, namun sekarang berada dalam keadaan lebih tersusun dan kemas,” katanya ketika ditemui di Taman Dato Abdul Rahman, Kuala Berang di sini.
Beliau yang merupakan penerima Anugerah Tokoh Guru Peringkat Daerah Hulu Terengganu Tahun 2016 berkata, galeri tersebut juga dapat mengelakkan bahan bacaan tersebut rosak terutamanya buku-buku yang mempunyai nilai estetika seperti terbitan jilid pertama.
Beliau memberi tahu, walaupun terpaksa keluarkan belanja besar namun dia tidak kesal kerana dapat realisasikan impian, selain mudahkan mereka yang ingin dapatkan bahan rujukan.
Serambi Ilmu yang boleh muatkan antara 20 hingga 25 orang pada satu-satu masa itu mula menerima kunjungan kenalan sejak sebulan lalu dan berdasarkan perancangan akan dibuka kepada umum akhir Mei ini.
“Saya memang suka membaca, hampir keseluruhan koleksi bahan bacaan yang ada ini saya beli sejak dulu. Selama 21 tahun bergelar guru membuatkan saya begitu dekat dengan ilmu sehinggalah sekarang,”ujarnya.










