Calon Bersama mahu buka pusat khidmat di sebelah klinik - Utusan Malaysia

Calon Bersama mahu buka pusat khidmat di sebelah klinik

DR. Zamil Najwah (lima dari kanan) bersama kepimpinan Bersama dan jentera parti berkempen di DUN Permas sempena PRN Johor Ke-16.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Dr. Zamil Najwah berhasrat membuka pusat khidmat rakyat berse­belahan klinik miliknya, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Dr. Zamil berkata, langkah itu bagi memastikan ma­syarakat setempat lebih mudah mendapatkan bantuan serta ruang pertemuan terus dengan wakil rakyat tanpa perlu me­nunggu urusan rasmi di pejabat.

Menurutnya, pengalaman sebagai pengamal perubatan yang berdepan pelbagai lapisan masyarakat setiap hari memberi kelebihan memahami ke­perluan dan masalah penduduk dengan lebih mendalam.

“Saya memang bercadang membuka pusat khidmat ma­syarakat di sebelah klinik. Jika tiada pesakit, saya boleh terus bertemu penduduk yang datang untuk mendapatkan khidmat nasihat,” katanya.

Katanya, pendekatan itu membolehkan dirinya kekal dekat dengan masyarakat, walaupun masih meneruskan kerjaya sebagai doktor.

Mengenai cabaran sebagai calon baharu, Dr. Zamil me­ngakui tempoh singkat selepas pencalonan menyukarkan ge­rak kerja awal kempen, terutama dalam membina jentera yang kukuh.

“Ya, memang agak mencabar, dinamakan sebagai calon dengan tempoh masa terhad, selain bergerak me­ngadakan kempen dengan jentera yang juga baharu dalam bidang ini, memang mencabar.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kempen berjalan lancar dan Bersama semakin dikenali ramai terutama dalam kala­ngan pengundi muda yang mengikuti perkembangan politik menerusi media sosial,” katanya.

Tambahnya, kempen secara fizikal tetap diteruskan bagi memastikan pendekatan turun padang dapat dilaksanakan secara seimbang dan berkesan.

“Sasaran kami kempen berhemah, sederhana dan dekat dengan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN