KUANTAN: Jenazah Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said yang terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, awal pagi semalam selamat tiba di kediaman keluarganya di Taman Sri Mahkota Jaya di sini kira-kira pukul 4.40 petang hari ini.
Muhammad Syafiq dibawa pulang kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi, selepas proses bedah siasat, mandi dan dikafankan siap dilakukan di Jabatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.
Jenazah turut disembahyangkan di Masjid Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor dan turut diberikan penghormatan terakhir daripada orang kenamaan dan pembesar negara.
Dalam pada itu, suasana di rumah kediaman ibu bapa Muhammad Syafiq sayu ketika menyambut ketibaan jenazah.
Ahli keluarga dan kenalan diberikan masa kira-kira 30 minit untuk memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah disembahyangkan sekali lagi sebelum di bawa ke Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Jalan Gambang, dekat sini.
Turut hadir, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan serta Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang.
Terdahulu, Pegawai Khas Menteri Besar, Yunan Abdul Samad hadir sama bagi menyampaikan sumbangan RM8,000 kepada ahli keluarga Muhammad Syafiq.
Semalam, Muhammad Syafiq, 24, terkorban dalam tragedi serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, kira-kira pukul 2.45 pagi.
Anggota yang turut terkorban, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dari Bidor, Perak manakala Koperal Mohd. Hasif Roslan mengalami kecederaan di bahu dan perut akibat ditembak suspek.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata, suspek berusia 21 tahun yang telah ditembak mati di lokasi kejadian dipercayai sudah merancang terlebih dahulu sebelum melakukan serangan. – UTUSAN










