AS digesa serahkan penalti Goldman Sachs kepada Malaysia

AS digesa serahkan penalti Goldman Sachs kepada Malaysia

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Ame­rika Syarikat (AS) digesa menye­rahkan sebahagian daripada denda dan penalti AS$2.9 bi­lion yang dibayar oleh Goldman Sachs berhubung peranannya dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Malaysia.

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia berhak me­nerima pampasan daripada jumlah yang dibayar oleh bank pelaburan berpangkalan di New York itu kepada pihak berkuasa AS.

“Kami menghargai usaha kerajaan AS dalam pemulihan dan penghantaran pulang dana 1MDB, tetapi (jumlahnya) jauh kurang daripada AS$4.5 bilion yang dicuri daripada rakyat Malaysia.

“Bagaimanapun, (Malaysia) berada dalam keadaan yang tidak menguntungkan, berban­ding Goldman Sachs,” kata be­liau dalam satu kenyataan kepada FMT.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, seorang hakim AS secara rasmi menamatkan kes jenayah kerajaannya terhadap Goldman Sachs berhubung urusan kerja bank Wall Street itu untuk 1MDB.

Hal ini berikutan syarikat itu didapati memenuhi kewajipan­nya dan membayar penalti AS$2.9 bilion atau RM13.75 bi­lion.

Menurut Johari, institusi perbankan itu akan dapat kembali menjalankan perniagaan seperti biasa, namun Malaysia terus dibebani dengan bayaran prinsipal dan faedah atas bon tersebut.

“Malaysia akan mengambil masa bertahun-tahun, jika bukan berdekad, untuk menyelesaikan hutang 1MDB, yang akan menggunakan wang pembayar cukai,” jelasnya.

Goldman Sachs terlibat mengatur penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dan membenarkan AS$4.5 bilion di­seleweng, sambil memperoleh fi berjumlah AS$600 juta.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, jumlah penyelesaian yang dipersetujui antara Goldman Sachs dan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin empat tahun lepas tidak cukup untuk menampung kerugian berkenaan.

“Jumlah penalti AS$2.9 bi­lion yang dibayar oleh Goldman Sachs kepada kerajaan AS lebih daripada penyelesaian tunai AS$2.5 bilion yang dibayar kepada kerajaan Malaysia, tidak termasuk jaminan pemulangan aset AS$1.4 bilion dikaitkan dengan bon 1MDB yang masih dipertikaikan,” katanya.

Kata beliau , Malaysia akan terus menuntut tunggakan AS$1.4 bilion yang perlu dibayar bank itu menurut perjanjian penyelesaian.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN