Apa status 10 projek Rumah Pahang?

Apa status 10 projek Rumah Pahang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Status 10 projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di negeri ini yang kini dikenali sebagai Rumah Pahang terus menjadi tanda tanya kerana ia keperluan cukup mendesak generasi kedua dan ketiga Felda di kawasan terbabit.

Projek terlibat adalah di Keratong 7, Jengka 11, Kampung Awah, Bukit Sagu, Sungai Retang, Jengka 1, Kota Gelanggi 2, Jengka 12, Jengka 6 dan Bukit Tajau.

Ketika berucap pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Jasri Jamaludin (Bersatu-Kuala Sentul) berkata, terlalu lama masa dibazirkan dan menidakkan keperluan mendesak anak-anak Felda yang begitu memerlukan rumah.

“Jumlah rumah sebanyak 1,850 buah (membabitkan 10 projek ini) boleh menampung penduduk seramai hampir 10,000 orang sekiranya kita mengambil purata satu keluarga mempunyai lima ahli keluarga. Ini juga termasuk generasi ketiga yang dilahirkan oleh generasi kedua.

“Daripada tinjauan saya, projek ini akan bermasalah dan tidak akan siap sekiranya tiada tindakan drastik. Masalah yang dihadapi oleh pemaju projek ini bukan sahaja merencatkan perjalanan projek malah akan berdepan dengan tindakan undang-undang oleh pihak kontraktor yang tidak mendapat bayaran. Jumlah bayaran tertunggak kepada kontraktor yang dimaklumkan kepada saya mencecah sehingga RM17 juta.

“Saya pasti pihak kerajaan melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang telah bertemu dengan kontraktor-kontraktor yang terlibat dan kedudukan sebenar perkara ini,” katanya ketika perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sidang DUN Pahang di sini.

Mengulas lanjut, Jasri menyeru kerajaan negeri bertindak segera jika mahu melihat projek perumahan generasi kedua Felda di Pahang berjaya direalisasikan.

Sementara itu, beliau berkata, isu yang setiap tahun menjadi rungutan dan keluhan rakyat di negeri ini terutama ketika musim perayaan adalah masalah bekalan air.

“Pada saya, masalah yang sebenar bukan di peringkat operasi di daerah-daerah yang mana pekerja-pekerja Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) bertungkus lumus membantu penduduk. Ada yang bekerja sehingga malam hari untuk memastikan bekalan air sampai kepada penduduk.

“Sebagai contoh di kawasan saya, pihak Paip berusaha sehabis baik menyediakan lori tangki yang mana ada tempat-tempat yang mempunyai tekanan air rendah.

“Masalah sebenar adalah membabitkan struktural, perancangan, pelaksanaan dan teknikal di peringkat Paip negeri. Kita semua maklum masalah air ini antaranya kerja-kerja penggantian paip lama yang sedang berjalan dan dalam peringkat rundingan.

“Pihak Paip sebenarnya perlu menerangkan dan memberitahu kepada rakyat sementara menunggu kerja-kerja siap perlu ada langkah-langkah solusi jangka pendek dan panjang untuk bekalan air yang berterusan. Bukan tiba-tiba tiada air,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN