SEREMBAN: Jentera Parti Amanah Negara (Amanah) berada di tiga kawasan pusat daerah mengundi (PDM) di Kuala Kubu Bharu yang majoritinya dalam kalangan pengundi Melayu bagi memastikan kemenangan calon calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tiga kawasan PDM tersebut adalah Kuala Kubu Bharu, Ayer Jernih dan Kerling.
“Jentera Amanah bersedia dan akan berada di tiga kawasan PDM yang menjoritinya adalah pengundi Melayu iaitu Kuala Kubu Baharu, Ayer Jernih dan Kerling.
“Kemenangan akan berpihak kepada PH melihat kepada perubahan sikap pengundi Melayu yang semakin menerima Kerajaan Perpaduan. Peranan veteran UMNO yang turun bersama juga turut membantu dan kita berharap kaum Tionghoa yang berada di sekitar pulanglah mengundi,” katanya selepas menghadiri Pemukiman Pemuda Amanah Nasional 2024 di Nilai di sini hari ini.
Mengulas keyakinan pembangkang yang mendakwa mampu menguasai 46 peratus pengundi Melayu di Kuala Kubu Bharu, Mohamad berkata ia merupakan satu percubaab membina persepsi.
“Biasalah ini semua persepsi dan takkan kita mahu letak angka rendah tetapi nampaknya ‘trend’ rakyat sekarang ini semakin memihak kepada Kerajaan Perpaduan dan kerajaan yang stabil,” katanya lagi.
PRK Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon PH, Pang Sock Tao, calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut, calon Parti Rakyat Malaysia, Hafizah Zainuddin dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.
Sementara itu, Mohamad berkata, beliau yakin barisan kepemimpinan Pemuda Amanah berupaya dalam membawa perubahan dan penambahbaikan dalam parti itu.
“Dulu di awal penubuhan parti pastinya ada kekurangan, jadi kehadiran Pemuda Amanah ini sudah tentu boleh memberi ‘nafas’ baharu dalam parti,”katanya.-UTUSAN.










