SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima sebanyak 15,753 aduan pengguna sejak Januari hingga April lalu dengan 7,711 aduan diterima menerusi platform Aduan Suri.
Timbalan menterinya, Fuziah Salleh berkata, daripada keseluruhan aduan yang dilaporkan menerusi platform berkenaan, 2,105 aduan adalah berkaitan transaksi pembelian dalam talian sebanyak diikuti aduan berkaitan harga (1,978) dan perkhidmatan mengelirukan (1,342).
“Aduan Suri ini telah dilancarkan pada Januari 2023 yang pada mulanya ditujukan kepada golongan wanita iaitu mahu mendidik suri rumah untuk mengetahui ada satu saluran aduan mudah bagi mereka iaitu melalui imbasan kod QR.
“Pada tahun lalu ia menjadi saluran kedua popular untuk buat aduan namun sejak bulan Januari ini kami dapati Aduan Suri jadi pilihan nombor satu pengguna daripada pelbagai saluran lain.
“Lebih menarik, lebih ramai lelaki guna platform ini berbanding golongan wanita lebih 50 peratus maksudnya ia satu saluran yang mudah dan ia senang digunakan untuk buat aduan,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Perasmian Hari Pengguna Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan dan Pelancaran Aduan Suri Negeri Sembilan di Seremban 2 di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan dan Pengarah KPDN negeri, Muhammad Zahir Mazlan.
Tambah Fuziah, daripada keseluruhan aduan pengguna yang diterima pada tahun ini, sebanyak 95 peratus aduan telah diselesaikan dan bakinya masih berada dalam siasatan.
Sementara itu, beliau turut menyarankan supaya peruncit dan peniaga di negara ini untuk tidak menjual produk yang dilabel dengan kempen memboikot produk kelapa sawit.
“Kita tahu minyak sawit ini adalah produk negara kita dan kita juga tahu ada lobi di peringkat antarabangsa yang menentang minyak sawit, seharusnya para peruncit, peniaga lebih peka berkenaan perkara ini dan tidak menjual produk yang boikot barang kita seperti minyak sawit
“Saya menyarankan jangan jual terus sebab kalau tutup label sekali pun, kita tahu pengeluarnya itu berpendirian memboikot minyak sawit, tidak seharusnya kita bersekongkol untuk usaha berkenaan,” katanya.
Baru-baru ini KPDN menyerbu sebuah kedai serbaneka di Presint 3 di Putrajaya kerana disyaki menjual produk makanan tertera perkataan ‘No Palm Oil’ (NPO) pada plastik pembungkusan produk itu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, hasil pemeriksaan pasukan menemui produk aiskrim pelbagai perisa yang mempunyai kenyataan ‘No Palm Oil’.
Menurutnya, kes itu akan disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk Keluaran Kelapa Sawit Dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022,.
Katanya lagi, perundangan di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022 telah mula dikuatkuasakan bermula 15 Mac 2022.-UTUSAN.










