MELAKA: Kerajaan negeri komited mencari penyelesaian tuntas terhadap masalah banjir yang kerap melanda sekitar Bukit Rambai sehingga menjejaskan kehidupan penduduk sejak lebih tiga dekad lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pelbagai cadangan dan kaedah akan diperhalusi bersama agensi teknikal bagi mengenal pasti penyelesaian terbaik untuk mengatasi punca sebenar banjir di kawasan tersebut.
Menurut beliau, taburan hujan luar biasa sejak pagi semalam yang melepasi paras kebiasaan menyebabkan sistem saliran dan takungan air gagal menampung kapasiti air sebelum melimpah ke kawasan perumahan.
“Kerajaan negeri memandang serius isu ini kerana ia bukan masalah baharu, sebaliknya telah membelenggu penduduk sejak lebih 30 tahun lalu.
“Sebab itu saya turun padang hari ini untuk melihat sendiri keadaan di lapangan dan mendapatkan gambaran sebenar mengenai punca kejadian.
“Kita akan mengkaji secara menyeluruh kaedah yang terbaik supaya masalah ini dapat diselesaikan secara berperingkat dan bukan sekadar langkah sementara. Saya mahu setiap syor serta cadangan yang dikemukakan oleh agensi berkaitan diberi perhatian dan dinilai dengan teliti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Minyak 2 di sini hari ini.
Ab. Rauf berkata, perhatian khusus akan diberikan terhadap kawasan Bukit Rambai dan Tanjung Minyak yang dikenal pasti sebagai antara lokasi yang sering dilanda banjir apabila berlaku hujan lebat dalam tempoh singkat.
Menurutnya, setakat hari ini seramai 984 mangsa daripada 313 keluarga masih ditempatkan di enam PPS iaitu di Melaka Tengah dan Alor Gajah.
Menurut beliau, kerajaan negeri akan memastikan semua mangsa menerima bantuan dan kebajikan sewajarnya sepanjang berada di PPS menerusi penyelarasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama agensi-agensi berkaitan.
“Kita berharap hujan tidak lagi turun pada kadar luar biasa supaya paras air dapat surut dengan lebih cepat dan mangsa boleh pulang ke rumah masing-masing serta meneruskan kehidupan seperti biasa,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, sepanjang mereka berada di PPS, segala keperluan termasuk makanan, minuman, tempat tinggal sementara dan kebajikan akan terus dipantau serta disediakan oleh kerajaan negeri,” katanya.
Beliau turut mengarahkan semua agensi penyelamat dan pengurusan bencana berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan setiap aduan atau kejadian banjir dapat diberikan tindakan segera.
“Saya mahu semua agensi terus berada dalam keadaan bersedia kerana situasi cuaca ketika ini tidak menentu. Respon yang cepat akan memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan sentiasa bersama mereka ketika berdepan bencana,” katanya. – UTUSAN









