PAPAR: Campur tangan pihak luar yang menghasut penduduk setempat antara punca menyebabkan institusi tertentu disekat daripada memasuki kawasan yang dicadang bagi pembinaan Empangan Papar.
Maka, kerajaan negeri harus bertegas sekiranya ada pihak lain yang campur tangan dan cuba memberi maklumat tidak tepat kepada penduduk setempat.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kerajaan negeri perlu bertegas dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba menghasut rakyat dengan fakta-fakta tidak benar.
Menurutnya, kawasan pantai barat Sabah memerlukan sumber air mentah yang lebih mampan untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang bagi menangani masalah gangguan bekalan air yang sedang berlaku.
“Jadi, saya merayu agar kerajaan negeri dapat memutuskan mengenai pembinaan empangan di Papar dalam tahun ini bagi menyelesaikan masalah air di Sabah untuk jangka masa panjang,” katanya semasa lawatan ke Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon.
Namun, katanya, dalam proses melaksanakan pembinaan empangan, ada pihak tertentu didapati memberi penerangan tidak lengkap kepada penduduk setempat bahawa mereka akan menghadapi masalah keselamatan, tidak ada jaminan penempatan semula dan kehidupan sosioekonomi mereka akan terjejas sekiranya berpindah dari kawasan tersebut.
Malah, lebih teruk lagi, jelasnya, institusi yang ingin melakukan kajian kebolehlaksanaan dihalang oleh pihak-pihak tertentu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, kajian kebolehlaksanaan perlu dilakukan bagi menentukan itu kawasan terbaik untuk pembinaan empangan, malah melihat bentuk jaminan perlindungan sosioekonomi dan keselamatan penduduk. – UTUSAN










