KUANTAN: Tiga insiden kedai serbaneka KK Mart dibaling bom petrol dibimbangi menimbulkan keresahan awam dan rakyat keseluruhannya terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pengerusi Institut Tarbiah dan Teknologi Islam (INTERGRASI), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, bermula pada 26 Mac lalu di Bidor, Perak, kejadian serupa berterusan seolah-olah ia sengaja dicetuskan pihak tertentu bagi mewujudkan provokasi yang bertujuan mencetuskan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat.
Jelasnya, dalam bulan Ramadan yang mulia ini, rakyat diminta mengekang nafsu marah dan berlapang dada untuk bermaaf-maafan demi mengukuhkan perpaduan.
“Tidak lama lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah sebulan berpuasa, jadi usahlah cetus kebimbangan dan provokasi yang dibimbangi boleh mencetuskan api perkauman.
“Aidilfitri sudah menjadi perayaan bagi lebih 33 juta rakyat Malaysia. Perayaan ini untuk diraikan bersama bukan ditangisi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebuah kedai KK Super Mart di Kuching, Sarawak dibaling ‘molotov cocktail’ pada 31 Mac lalu, kejadian ketiga membabitkan rangkaian kedai serbaneka tersebut.
Pada 26 Mac lalu, satu objek dipercayai bom petrol dilaporkan dibaling di kedai serbaneka KK Mart di Bidor. Kejadian serupa berlaku buat kali kedua, di KK Mart Cawangan Sungai Isap, di sini pada 30 Mac lalu.
Zuhairi berkata, jika bercakap soal boikot, rangkaian makanan segera, McDonald’s (McD) dan Kentucky Fried Chicken (KFC) serta Starbuck lebih teruk menerima kesan ekoran tindakan itu, namun tiada pula kejadian dibaling bom petrol berlaku di premis perniagaan berkenaan.
“Kita hairan, apabila KK Mart diboikot, berlaku tindakan yang dibimbangi boleh mencetuskan api perkauman. Ia suatu yang tidak boleh dipandang ringan dan INTERGRASI berharap perbuatan sebegini dibendung supaya ia tidak merebak lebih luas dan menggugat perpaduan,” katanya.
Menurutnya, INTERGRASI menyeru rakyat Malaysia agar tidak terpengaruh dengan hasutan yang boleh mencetuskan pergaduhan dan perbalahan sesama insan.
Sementara itu, beliau berharap pihak berkuasa tidak terpedaya dengan alasan diberikan lelaki Israel yang ditahan pada Rabu minggu lalu bersamanya enam pucuk senjata api dan 200 butir peluru.
Katanya, adalah tidak masuk akal apabila lelaki Israel itu mendakwa dia memasuki negara ini untuk membunuh seorang individu dengan senjata api yang dibawa.
“Kita berharap pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan lelaki Israel itu. Pendedahan suspek dilihat tidak masuk akal. Harap pihak berkuasa tidak terpedaya dengan alasan diberikan.
“Kita bimbang lelaki terbabit mempunyai perancangan yang lebih serius untuk merosakan negara ini,” katanya. – UTUSAN









