Didik rakyat bantu mangsa kemalangan, bukan hanya rakam, tular - Utusan Malaysia

Didik rakyat bantu mangsa kemalangan, bukan hanya rakam, tular

ZUHAIRI AB KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Rakyat perlu dididik tentang bantuan yang perlu dan boleh diberikan segera jika melihat sesuatu musibah di depan mata khususnya kemalangan jalan raya.

Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) berpandangan, kesedaran rakyat tentang perkara itu masih terlalu rendah mungkin disebabkan tiada ilmu tentang bantuan apa perlu diberikan.

Akibatnya, Presiden Peka, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, rakyat dilihat terlalu ‘prihatin’ tetapi bukan untuk membantu sebaliknya hanya menjadi wartawan dengan merakam dan mengambil gambar di tempat kejadian bagi sesuatu musibah.

“Sebenarnya banyak perkara yang boleh dilakukan untuk membantu individu terlibat dengan musibah contohnya kemalangan jalan raya, mana tahu dengan bantuan anda, mampu menyelamatkan sesuatu nyawa pada ketika itu.

“Jika boleh, berhenti dan hulurkan bantuan secepat mungkin yang boleh memudahkan perjalanan pengguna jalan raya yang lain.

“Tidak salah untuk kita berada di lokasi musibah, tetapi biarlah keberadaan anda di situ dengan tujuan membantu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zuhairi, rakyat sepatutnya mencontohi keperibadian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang beberapa kali mencemar duli turun daripada kenderaan rasmi baginda untuk memberikan bantuan kepada mangsa terlibat kemalangan.

“Dengan Sikap hanya melihat dan merakam kejadian tanpa memberikan bantuan kepada mangsa ini perlu diubah supaya ia tidak menjadi kebiasaan dalam kalangan rakyat.

“Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Saya berharap agar pihak berkuasa mengadakan kempen kesedaran dengan mengadakan taklimat keselamatan bagi membantu mangsa-mangsa musibah ini sebelum ketibaan pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga meminta pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan penerangan kepada orang ramai tentang jenis-jenis kemalangan yang boleh dibantu dan tidak boleh.

“Ini penting kerana sesetengah orang apabila ditanya kenapa tidak beri bantuan, jawapan diberikan adalah nanti polis marah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya