KUANTAN: Penunggang motosikal khususnya yang akan pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba diminta menjaga toleransi dan sikap dengan tidak mementingkan diri ketika di jalan raya.
Penaung Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi, Daz Bikers, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, jika melihat statistik, lebih 80 peratus faktor utama nahas jalan raya sehingga mengakibatkan kematian berpunca daripada sikap manusia.
“Berdasarkan kepada statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tahun 2023, kematian penunggang motosikal akibat nahas jalan raya meningkat 10 peratus, iaitu 4,480 kemalangan maut dengan 4,499 kematian, berbanding 4,071 kemalangan maut pada tahun sebelumnya.
“Benar pelbagai faktor menjadi punca, namun toleransi dan sikap penunggang motosikal antara penyumbang kemalangan maut yang mana memandu secara melulu, ingin cepat sampai sehingga mengabaikan jarak selamat dengan kenderaan lain.
“Cepat sampai bukan matlamat kita penunggang motosikal tetapi apa yang kita mahu adalah selamat sampai. Nyawa adalah mustahak dan perlu diutamakan terutama pada musim perayaan Aidilfitri ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, selain bertolak ansur, penunggang motosikal juga perlu berhemah ketika berada di jalan raya dan tidak mengamalkan sikap seperti memaksa pengguna kenderaan lain untuk menjaga keselamatan mereka.
“Sebagai rakyat yang bertamadun, tolak ansur ketika memandu dan sikap prihatin mampu untuk mengurangkan risiko kemalangan yang bahayanya bukan saja kepada diri sendiri tetapi juga pengguna lain.
“Namun, sikap segelintir penunggang motosikal yang menjadikan jalan raya seolah-olah hak milik peribadi memberikan gambaran negatif kepada mereka yang berhemah dan menunggang secara bijaksana,” katanya.
Beliau dalam pada itu mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat di negara ini.
“Berhati-hati memandu khususnya kepada penunggang motosikal ketika pulang ke kampung. Semoga kita semua selamat sampai ke destinasi yang dituju,” katanya. – UTUSAN










