Tiada Aidilfitri di wilayah 'tidak sesuai didiami manusia'

Tiada Aidilfitri di wilayah ‘tidak sesuai didiami manusia’

PENDUDUK Palestin meninggalkan kawasan yang dibom Israel di tengah Bandar Gaza pada 18 Mac lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 2.3 juta rakyat Palestin di Gaza bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan kedaifan selepas wilayah tersebut kini disifatkan sebagai ‘tidak sesuai untuk didiami manusia’ akibat kekejaman berterusan Israel.

Lebih menyedihkan, sebahagian besar mereka kini berlindung di sebalik khemah plastik di kawasan lapang sekitar bandar Rafah manakala bakinya masih mendiami bangunan usang separa runtuh di beberapa kawasan lain termasuk di utara Gaza.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin di Gaza, Omar Seyam berkata, situasi di Gaza sangat buruk untuk manusia dengan kebuluran di mana-mana tanpa air bersih dan sebagainya.

Menurutnya, keadaan itu diburukkan lagi apabila sistem kesihatan di tanah kelahirannya hampir runtuh secara total akibat kekejaman rejim Zionis yang tidak berperikemanusiaan.

“Tidak ada manifestasi untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam kalangan kami bahkan sepanjang bulan Ramadan ini, solat Tarawih juga tidak dapat dilaksanakan kerana lebih 700 masjid di seluruh wilayah musnah sepenuhnya.

BERLINDUNG

“Bagaimana kami hendak menyambut Hari Raya Aidilfitri sedangkan 75 peratus daripada kami berlindung di bawah khemah plastik lebih dari enam bulan dengan langsung tiada harapan untuk kembali ke kediaman masing-masing?” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, kehidupan rakyat Palestin di Gaza selepas enam bulan menjadi mangsa kekejaman tentera Israel semakin tidak tertanggung akibat terpaksa menjadi pelarian di tanah air sendiri.

“Mustahil untuk kami pulang ke rumah masing-masing kerana permintaan ini ditolak Israel dan mereka mensasarkan roketnya kepada sesiapa sahaja yang cuba kembali ke kediaman walaupun ia sudah musnah menyembah bumi,” katanya.

Berdasarkan laporan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA), kira-kira 1.7 juta rakyat Palestin di Gaza kini berstatus pelarian manakala bakinya masih enggan meninggalkan kediaman masing-masing walaupun sudah rosak dibedil roket rejim Zionis.

Serangan tidak berperikemanusiaan tentera Israel sejak 7 Oktober tahun lalu terhadap wilayah Gaza seluas 365 kilometer persegi mengakibatkan jumlah kematian setakat ini seramai 33,091 orang dengan 75,668 lagi parah.

Daripada jumlah itu, kira-kira 70 peratus daripada mangsa yang meninggal dunia adalah golongan kanak-kanak, wanita dan warga emas.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN