KUALA LUMPUR: Taikun Spanco Sdn. Bhd. (Spanco), Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi tuduhan menipu berkaitan tender mengurus fleet kenderaan kerajaan Malaysia bernilai hampir RM4 bilion.
Hua Choon minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut kertas pertuduhan, Pengerusi Spanco itu didakwa menipu Kementerian Kewangan bahawa terdapat pemilikan saham sekurang-kurangnya 30 peratus oleh bumiputera di syarikat Spanco.
Tindakan itu telah mendorong Kementerian Kewangan untuk menganugerahkan kontrak mengurus dan menyelenggara terbabit.
Hua Choon didakwa melakukan kesalahan itu antara 27 Februari 2019 dan 28 Februari 2019 di Bilik Tender, Unit Kerjasama Awam Swasta, Kementerian Kewangan, Aras 10, Blok Menara, Menara Usahawan, Presint 2, Persiaran Perdana, di dalam Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.










