KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mahu ada apa-apa aspek diketepikan atau disorok dalam siasatan nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak Selasa lalu yang mengorbankan 10 pegawai dan anggota pasukan itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hasil siasatan itu nanti akan turut membolehkan prosedur operasi standard (SOP) raptai persembahan penerbangan diteliti semula.
Beliau berkata, sebuah jawatankuasa akan dibentuk merangkumi semua pihak berkepentingan termasuk syarikat helikopter bagi mengkaji dan meneliti mengenai SOP itu.
“Kita akan ambil pengajaran, kita akan tunggu laporan siasatan dan dari situ kita akan lakukan perkara-perkara yang wajar dilakukan.
“Jawatankuasa akan dibentuk dan mereka akan tentukan siapa lagi boleh bantu, kita mesti nak tahu sejelas-jelasnya bagaimana boleh berlaku jadi apa sahaja boleh bantu,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira ATM, di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, beliau enggan memberikan penekanan mengenai soal bantuan yang disalurkan kepada waris-waris 10 anggota yang terlibat itu.
“Apa sahaja bantuan dan sumbangan dalam bentuk wang ringgit tidak akan mampu menggantikan mereka yang sudah meninggal dunia. Jadi sebab itu saya tak nak cakap mengenai perkara itu.
“Tetapi percayalah bahawa kita sedang uruskan dengan baik perkara itu, bila sampai masanya kita akan maklumkan pada keluarga atau waris dan mungkin kepada khalayak umum,” katanya.
Kelmarin, kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi itu. – UTUSAN










