MARAN: Sebuah keluarga peneroka Felda Tanjung Jengka 20 di sini tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah 100 peratus akibat kebakaran kira-kira pukul 8.15 malam ini.
Ketika kejadian, semua keluarga tiada di rumah kerana sudah dua minggu pulang ke kampung di Perak bercuti sempena Ramadan dan Aidilfitri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka, Muhamad Nur Syukran Muhamad Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam tentang kejadian itu pada pukul 8.27 malam.
Menurutnya, seramai tujuh anggota dari balai terbabit bersama sebuah jentera pemadam dengan bantuan BBP Kuala Krau serta sebuah jentera pemadam dan 14 anggota pasukan bomba sukarelawan(PBS) Jengka 14 dikerahkan ke tempat kejadian.
“Komander operasi melaporkan berlaku kebakaran sebuah rumah jenis separuh kekal berukuran 30 kaki x 80 kaki persegi dan peratusan kebakaran 100 peratus namun tidak melibatkan mangsa.
“Pasukan bomba membuat operasi pemadaman dengan menggunakan satu aliran hos 60.96 meter, satu muncung dan satu aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera bomba,” katanya di sini hari ini.
Muhamad Nur Syukran berkata, operasi pemadaman tamat pukul 10.11 malam ini dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak forensik.
Sementara itu, Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Wilayah Jengka, Razak Daud menasihatkan pemilik rumah terutama dalam musim panas ini memastikan punca elektrik dicabut sebelum meninggalkan rumah dalam tempoh lama.
“Biro Sosial dan Komuniti serta Gabungan Masjid Wilayah Wilayah Jengka telah menyalurkan sumbangan awal sebanyak RM500 dan akan mengumpul dana melalui kutipan di 38 masjid,” katanya.
Menurutnya, sepanjang Ramadan ini, sudah dua rumah terbakar iaitu di Felda Raya Jengka 14 dan Felda Tanjung Jengka 20. – UTUSAN










