BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Isnin berkata kempen ketenteraan bersama Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran telah menyelamatkan negaranya daripada apa yang disifatkannya sebagai ancaman pemusnahan nuklear oleh republik Islam itu.
Dalam kenyataan awam pertamanya sejak AS dan Iran mengumumkan perjanjian pada awal pagi Isnin untuk menamatkan perang di Asia Barat, Netanyahu turut berkata tentera Israel akan terus kekal di Lubnan, Gaza dan Syria “selagi perlu.
Berucap dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di televisyen, Netanyahu, yang berdepan kritikan hebat berhubung pengendaliannya terhadap perang dan dakwaan pengkritik bahawa beliau gagal mempengaruhi rundingan Washington mengenai perjanjian itu, berusaha menonjolkan apa yang disifatkannya sebagai pencapaian utama kempen tersebut.
“Perkara paling penting ialah kami telah menyelamatkan negara Israel daripada ancaman pemusnahan nuklear,” kata Netanyahu.
“Dan apakah maksudnya? Ia bermaksud jutaan rakyat Israel. Anda yang sedang mendengar saya sekarang, kesemua anda akan berada dalam bahaya besar kematian secara besar-besaran dan kami telah menjauhkan ancaman pemusnahan penduduk Israel ini untuk tempoh bertahun-tahun,” katanya.
Netanyahu berikrar bahawa Iran tidak akan dibenarkan memperoleh senjata nuklear, tanpa mengira syarat mana-mana perjanjian.
“Dengan perjanjian atau tanpa perjanjian, Iran tidak akan memiliki senjata nuklear,” katanya.
“Bukan hari ini dan bukan esok,” tambahnya, sambil menyatakan bahawa kempen AS-Israel telah menyerang setiap sasaran infrastruktur yang mungkin di Iran.
“Saya tidak melakukan sebarang kesilapan. Kami berkata bahawa kami mahu menghapuskan ancaman kewujudan yang tergantung di atas kami: pertama, ancaman nuklear dan kami berjaya melakukannya; kedua, ancaman peluru berpandu dan kami juga berjaya melakukannya,” tambahnya.
Menyenaraikan apa yang disifatkannya sebagai pencapaian operasi itu, Netanyahu berkata: “Kami telah meneutralkan saintis nuklear mereka, menumpaskan kepimpinan, melumpuhkan kemudahan nuklear, memusnahkan peluru berpandu dan memusnahkan sebahagian besar kilang pengeluaran peluru berpandu,” ujarnya.
Beliau juga berhujah bahawa kempen tersebut telah mewujudkan ancaman ketenteraan yang berwibawa untuk menyokong sebarang perjanjian masa depan dengan Iran, sesuatu yang menurutnya tidak wujud pada peringkat awal konflik yang tercetus susulan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
“Kami masih tidak mengetahui apakah kandungan sebenar perjanjian itu. Tetapi, saya boleh memberitahu perbezaan asas antara dahulu dan sekarang: sebarang perjanjian mesti disertai ancaman ketenteraan yang berwibawa,” katanya.
“Pada masa itu, tiada ancaman ketenteraan yang berwibawa. Hari ini ada. Dan bukan hanya kerana Amerika tetapi juga kerana kami,” katanya.
Namun, kata beliau, ancaman terhadap Israel masih kekal bukan sahaja daripada Iran tetapi juga sekutunya di rantau itu. – AFP










