PRK Kuala Kubu Baharu: Calon Gerakan atau lain diketahui esok - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Baharu: Calon Gerakan atau lain diketahui esok

DOMINIC LAU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan sama ada calon Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) bakal dipertaruhkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu atau tidak, bakal diketahui esok.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, PN telah membincangkan lebih mendalam berhubung calon dan parti manakah yang bertanding dalam pilihan raya itu dalam mesyuarat khas yang berlangsung pada Isnin lalu.

“Ya, PN telah memutuskan calon daripada parti manakah bertanding. Ia bakal diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Bagaimanapun, Hoe Chai tidak menjawab sama ada Gerakan diberikan laluan bertanding meskipun pihaknya sebulat suara memutuskan untuk mencuba nasib dalam PRK Kuala Kubu Bharu yang berlangsung pada 11 Mei ini.

Persoalan sama ada Gerakan diberikan laluan meletakkan calon mewakili PN dalam PRK DUN Kuala Kubu Baharu masih belum terjawab sehingga kini.

Sebelum ini, akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor dikatakan mahu diberikan laluan merampas kerusi itu daripada penguasaan Pakatan Harapan (PH) sejajar ‘misi 4-0’ mereka untuk menewaskan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP dalam PRK tersebut.

PN sudah menguasai kerusi Parlimen Hulu Selangor sertai DUN Hulu Bernam dan Batang Kali menerusi wakil Pas dan Bersatu, justeru kali ini gabungan parti itu menaruh keyakinan tinggi untuk menang di kubu kuat DAP selama tiga penggal itu.

Sebaliknya Gerakan minggu lalu sebulat suara memutuskan untuk bertanding di PRK Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini, namun terserah kepada PN untuk memutuskan demikian.

Ketika PRN Selangor Ogos lalu, Gerakan yang mempertaruhkan Pengerusi Gerakan Selangor, Henry Teoh Kien Hong kalah dalam pertandingan tiga penjuru dengan 10,743 undi berbanding calon PH, Lee Kee Hiong yang menang 14,862 undi.

PRK Kuala Kubu Baharu terpaksa diadakan ekoran Kee Hiong yang meninggal dunia 21 Mac lalu akibat kanser.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN