JOHOR BAHRU: MCA kekal dengan keputusan untuk tidak terlibat membantu calon kerajaan perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Ketua Pemudanya, Ling Tian Soon sehubungan itu turut memberitahu, calon yang diletakkan daripada DAP iaitu Pang Sock Tao sehingga kini masih mendakwa Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan yang gagal.
Menurut beliau, calon berkenaan turut mengkritik MCA dan kepimpinannya tertingginya iaitu Presiden, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang dilihat gagal mentadbir Kementerian Pengangkutan sebelum ini.
“Datuk Lokman Noor Adam (Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO), ini adalah ucapan calon DAP ketika berkempen di Kuala Kubu Bharu, apa pandangan anda. Calon yang sehingga kini masih mengutuk BN dan salahkan segalanya kepada BN.
“Tak habis-habis BN dimaki. Tak sudah-sudah MCA dikutuk. Soal turun kempen PRK untuk calon DAP di PRK Kuala Kubu Bharu, bak kata Prabowo ‘sorry yeh’,” ujarnya ringkas di laman Facebook miliknya.
Tian Soon yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor berkata demikian ketika mengulas permintaan Lokman agar MCA turut berkempen membantu calon DAP dalam PRK Kuala Kubu Bharu selaku sebahagian parti dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.










