SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan akan menggerakkan kira-kira 200 ahlinya bagi membantu kempen calon parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu
Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, jentera PN Negeri Sembilan akan berada di kawasan pusat daerah mengundi (PDM) Ladang Nigel Gardner yang mempunyai sejumlah 865 orang pengundi berdaftar.
“Berdasarkan pecahan, pengundi Melayu adalah seramai 240 orang, India (542), Cina (78) dan seorang orang Asli. Melihat kepada jumlah pengundi tersebut, PN Negeri Sembilan juga akan menumpukan sepenuhnya untuk meraih sokongan pengundi bukan Islam di PDM tersebut.
“Ditambah pula sokongan daripada kaum India terhadap PN kini semakin memberangsangkan, kami yakin mempunyai peluang itu (menang),” katanya ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Jamuan Hari Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi di Senawang.
Mohamad Hanifah yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan turut yakin, pengundi Melayu di situ juga akan memberikan sokongan penuh kepada calon PN.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dan 27 April sebagai hari penamaan calon. Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei ini dengan tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari.-UTUSAN.










