PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) berdepan risiko kekalahan walaupun meletakkan calon kaum Tionghoa sekiranya peratusan keluar mengundi kaum Cina rendah dalam Pilihan Raya Negeri (PRK) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini.
Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Yusri Ibrahim berkata, terdapat dua persoalan utama sama ada pengundi Cina akan keluar mengundi atau tidak dalam pilihan raya tersebut itu.
Bagaimanapun kata beliau, sekiranya orang Cina keluar mengundi, kebarangkalian mereka akan memberi undi kepada PH adalah tinggi.
“Hal ini kerana mengikut kajian sebelum ini, pengundi Cina akan mengundi secara berstrategi. Contohnya mereka menentukan siapa akan jadi kerajaan atau untuk menyampaikan sesuatu mesej kepada kerajaan atau parti-parti politik.
“Dalam kes Kuala Kubu Baharu ini, PRK ini tidak akan mengubah kerajaan, maksudnya faktor ini sudah tiada. Jika ada pun, faktor menyampaikan mesej kepada kerajaan atau parti politik, jadi ini yang menjadi pengaruh besar nanti sama ada mereka akan keluar mengundi atau tidak.
“Sudah tentu jika ingin menang, PH perlu berusaha untuk memujuk pengundi Cina untuk keluar membuang undi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, PH menamakan calon wanita, Pang Sock Tao untuk bertanding dalam PRK Kuala Kubu Baharu yang akan berlangsung pada 11 Mei ini.
Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu sebelum ini merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Tenaga Nasional (Uniten), selain berpengalaman sebagai penerbit UbahTV kendalian DAP.
Dalam pada itu, Mohd. Yusri berkata, Perikatan Nasional (PN) berpeluang besar dalam pilihan raya tersebut jika meletakkan calon Melayu sama ada diwakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas berbanding individu diletakkan Parti Gerakan Malaysia (Gerakan).
Katanya, hal ini kerana calon Melayu akan melebarkan lagi pengaruh politik identiti di Kuala Kubu Baharu.
“Sebaliknya jika PN meletak calon bukan Melayu, tidak banyak nilai tambah yang diperoleh kerana kecenderungan sokongan pengundi etnik bukan Melayu masih cenderung terhadap PH.
“Memandangkan pengaruh politik identiti sangat kuat dalam politik Malaysia hari ini, maka salah satu pembolehubah penting dalam corak pengundian sekarang adalah faktor etnik.
“Ini bermakna pengundi bukan Melayu khususnya etnik Cina sangat kuat menyokong PH, manakala pertambahan sokongan pengundi etnik Melayu terhadap PN semakin meningkat,” katanya.
Ketika PRN Selangor Ogos lalu, Gerakan yang mempertaruhkan Pengerusi Gerakan Selangor, Henry Teoh Kien Hong kalah dalam pertandingan tiga penjuru dengan 10,743 undi berbanding calon PH, Lee Kee Hiong yang menang 14,862 undi. – UTUSAN










