KANGAR: Projek perintis penanaman bawang tempatan di Perlis di kawasan seluas 0.4 hektar di Sungai Chuchuh di sini dijadualkan bermula penghujung Mei ini dan dijangka menghasilkan sehingga tiga tan metrik.
Projek itu akan diusahakan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri dengan sumber benih pula dibekalkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebanyak satu tan metrik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pertanian negeri, Hafizuddin Othman berkata, jangkaan tarikh tuaian adalah pada awal Ogos ini dengan sasaran hasil sebanyak tiga tan metrik bagi peringkat permulaan.
Katanya, lokasi penanaman tersebut pada asalnya adalah kawasan hutan sebelum selesai dibersihkan baru-baru ini bagi memulakan tanaman.
“Tanaman akan bermula hujung Mei ini dengan hasil dijangka boleh dituai pada awal Ogos dengan tanaman memerlukan tempoh kira-kira 70 hari sebelum dituai.
“Hasil bawang berkenaan pula akan dijual semula kepada MARDI dan jika terdapat lebihan, kita akan jual di Peladang Outlet,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Perak menjadi negeri pertama di Malaysia berjaya menuai hasil bawang tempatan jenis BW1 membabitkan berat sekitar 2.3 tan di Kampung Ladang Bikam, Sungkai.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup dilaporkan berkata, projek kerjasama dengan Jabatan Pertanian Perak itu sebelum ini dilaksanakan secara tiga fasa di kawasan seluas satu hektar, menyasarkan pengeluaran hasil kira-kira empat tan metrik setiap hektar.
Sebagai rekod, tanaman bawang memerlukan 65 hingga 70 hari untuk tempoh matang sebelum boleh dituai.
Bekalan bawang di Malaysia diimport dari 29 negara dengan lima daripadanya adalah pengeksport terbesar iaitu India, Pakistan, China, Belanda dan Thailand.
Jenis bawang yang diimport negara ini antaranya bawang kecil merah, bawang besar, bawang kecil merah Rose dan bawang merah.
Pada 2022, Malaysia mengimport bawang sebanyak 687,000 tan metrik dengan nilai sebanyak RM1.58 bilion.
Daripada jumlah tersebut, bawang kecil diimport sebanyak 38,000 tan metrik dengan nilai RM81.5 juta bagi menampung keperluan penggunaan domestik.
Tambah Hafizuddin, jika projek berkenaan berjalan dengan baik dan berjaya, ia akan diperluaskan lagi ke kawasan penanaman lain.
“Insya-Allah dengan nilai pengeluaran ini akan membantu menampung keperluan bawang negara dan mengurangkan nilai import bawang,” katanya. – UTUSAN











