PETALING JAYA: Peratusan keluar mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dijangka kurang daripada 70 peratus.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, beliau menjangkakan peratus keluar mengundi kurang atas beberapa faktor.
Ia termasuk laporan mengatakan pengundi Melayu dan India tidak berminat keluar mengundi pada PRK berkenaan.
“Faktor cuaca dan calon bertanding juga menjadi penentu serta mempengaruhi peratusan keluar mengundi,” katanya.
Mengenai peluang parti bertanding, Wan Ahmad berpandangan, parti kerajaan iaitu Pakatan Harapan (PH) mempunyai kelebihan berikutan keadaan kawasan dan demografi pengundi.
“DUN KKB melibatkan kawasan luar bandar, maka sikap pengundi akan mudah terpengaruh dengan bantuan, sumbangan, janji serta hadiah yang biasanya datang daripada parti kerajaan memerintah.
“Fenomena ini merupakan lumrah semasa musim pilihan raya,” jelasnya lagi.
Menurutnya, keputusan PRK Kuala Kubu Baharu sangat besar maknanya buat PH dan Perikatan Nasional (PN).
“Ia melibatkan maruah PH khususnya DAP. Bagi PN, jika berjaya mengalahkan parti kerajaan, ia merupakan satu kebangkitan imej bergaya dan akan mengekalkan semangat gelombang hijau yang mereka laungkan,” katanya.
PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
SPR menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dan 27 April sebagai hari penamaan calon. – UTUSAN










