Pengusaha barang lusuh didakwa cuba rasuah penguat kuasa

Pengusaha barang lusuh didakwa cuba rasuah pembantu penguat kuasa MBIP

LEE SWEE HUAT (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan memberi rasuah sebanyak RM500 kepada pembantu penguat kuasa MBIP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengusaha syarikat barangan terpakai dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan cuba memberi rasuah RM500 kepada seorang pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), dua tahun lalu. 

Walau bagaimanapun, tertuduh, Lee Swee Huat, 55, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Swee Huat didakwa memberi rasuah sebanyak RM500  kepada seorang pembantu penguat kuasa MBIP sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikatnya atas kesalahan meletakkan barangan lusuh di tempat awam tanpa kebenaran di Jalan Perlaluan Makmur 73, Taman Damai Jaya, dekat sini kira-kira pukul 2.30 petang, 26 Jun 2022.

Dia didakwa di bawah Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli, manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela Mohamad Azrulsani Othman.

Pihak pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain perlu melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Johor Bahru. 

Dalam rayuannya, Mohamad Azrulsani memohon wang jaminan yang lebih rendah, iaitu RM5,000 memandangkan lelaki itu mempunyai masalah kesihatan seperti darah tinggi dan kencing manis selain tidak mempunyai pendapatan tetap. 

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan 5 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×