Pengilang padi bakal rugi RM200 juta?

Pengilang padi bakal rugi RM200 juta?

Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kilang-kilang padi di seluruh negara bakal kerugian lebih RM200 juta selepas diarahkan menjual beras yang diproses pada harga RM2,550 per tan kepada empat syarikat yang dilantik Kawal Selia Padi dan Beras.

Kilang-kilang tersebut diarahkan menjual stok beras berkenaan hanya kepada syarikat-syarikat terbabit dengan jumlah semuanya 140,000 tan metrik yang siap diproses.

Tindakan Kawal Selia Padi dan Beras itu bertujuan memenuhi permintaan beras tempatan di pasaran dengan harga RM26 bagi kampit 10 kilogram di pasaran.

Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, setiap kilang boleh rugi antara RM600 sehingga RM800 bagi satu tan metrik jika menjual dengan harga RM2,550 per tan seperti disarankan kerajaan.

“Dengan arahan tersebut akan menyebabkan pengilang-pengilang yang sudah membeli padi pada harga yang tinggi antara RM1,800 hingga RM2,000 per tan kemudian diproses termasuk dengan pelbagai kos lain akan menyebabkan mereka mengalami kerugian besar,” kata beliau.

Menurut beliau, sebagai contoh, kilangnya sahaja sudah mengalami kerugian sebanyak RM380,000 apabila `dipaksa’ mengagihkan 550 tan metrik beras kepada syarikat yang dilantik kerajaan baru-baru ini.

BERAS

“Di peringkat pengilang kos untuk mengeluarkan satu tan metrik beras antara RM3,100 hingga RM3,300. Apabila kena jual pada harga RM2,550 satu tan kepada syarikat-syarikat terbabit, kita mengalami kerugian antara RM600 sehingga RM800 bagi berat itu.

“Kena harga siling belian padi tidak melebihi RM1,300 baru kita boleh keluarkan beras pada harga RM26 pek 10 kilogram.

“Sekarang di tiga kilang saya, masih terdapat 12,000 tan metrik yang tersadai yang jika diproses dan dijual pada harga diarahkan itu (RM2,550), kita akan mengalami kerugian sekitar RM8 hingga RM9 juta,” katanya.

Baru-baru ini, mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan supaya semua stok semasa padi dan beras yang telah dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan metrik diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan serta-merta.

Selain itu, harga jualan runcit Beras Putih Import (BPI) turun antara RM2 hingga RM3, namun tiada harga siling ditetapkan bagi beras berkenaan

Sementara itu, Marzukhi berkata, perang harga padi berlaku melibatkan kilang-kilang besar apabila mereka membeli padi dengan harga antara RM1,800 hingga RM2,100 bagi satu tan metrik.

KILANG_KILANG

Katanya, apabila berlaku situasi tersebut, kilang-kilang lain yang lebih kecil terpaksa mengikut rentak itu.

“Kos untuk mengeluarkan beras apabila harga padi melangkaui RM1,800 satu tan metrik itu adalah RM3,000 satu tan metrik atau RM30 sekampit bagi berat 10 kilogram.

“Jadi bayangkan apabila pihak Kawal Selia Padi dan Beras ini mengarahkan kilang-kilang mengeluarkan beras pada kadar RM2,550 yang hanya empat syarikat yang dilantik itu,” katanya.

Seterusnya beliau berharap agar kerajaan, kementerian dan Perdana Menteri menyemak semula perkara berkenaan kerana melalui sesi libat urus baru-baru ini tidak ada satu pun keputusan yang dicapai sebenarnya.

Namun katanya, secara tiba-tiba pengilang diarahkan keluarkan beras pada harga RM2,550 .
“Kami minta kepada kerajaan pada sesi libat urus tersebut bagi memberi keselesaan kepada semua pihak adalah dengan menetapkan satu gred beras sahaja dan mencadangkan dijual pada harga RM35 bagi berat 10 kilogram.

“Sudah terlalu lama harga beras tempatan ini tidak disemak dan harga RM26 sudah tidak lagi sesuai dengan situasi semasa memandangkan semua kos sudah meningkat sama ada di peringkat pengilang dan juga pesawah sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×